10 kawasan dilanda suhu panas tahap berjaga-jaga



PUTRAJAYA: Suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 celcius akan dialami 10 kawasan di Semenanjung selama tiga hari berturut-turut yang dikategorikan pada tahap satu iaitu dalam fasa berjaga-jaga.

Kemaskini status gelombang haba yang dimuat naik di laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada jam 11 pagi tadi menyatakan antara kawasan yang disenaraikan adalah di Chuping (Perlis), Kubang Pasu, Kota Setar, Sik (Kedah), Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta (Perak).

Kawasan lain yang turut disenaraikan ialah di Maran (Pahang), Kepong (Kuala Lumpur) dan Muar (Johor).

Bagi kawasan yang tidak berada di tahap satu, suhu harian maksimum bagi kawasan berkenaan dibawah 35 celcius.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meminta rakyat supaya berwaspada terhadap tanda-tanda awal strok haba berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.

Beliau berkata, strok haba berlaku apabila paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 celcius berbanding suhu normal badan manusia kira-kira 37 celcius.

“Antara tanda awal terkena strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas.

“Tanda-tanda lain ialah otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam.

“Suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu sawan, koma dan boleh membawa kematian,” katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, MetMalaysia memaklumkan sepanjang Februari hingga Mac, kebanyakan tempat di Semenanjung dijangka menerima cuaca yang agak kering dengan jumlah taburan hujan yang kurang daripada 150 mm.

Bagi Perlis, selatan Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pula dijangka menerima jumlah hujan bulanan yang sedikit berkurangan berbanding purata hujan jangka panjang.

“Di Sarawak iaitu di Kuching dan Samarahan dijangka menerima hujan sedikit melebihi paras purata di antara 600 mm hingga 700 mm. Bahagian lain di Sarawak dijangka menerima curahan hujan pada paras purata di antara 200 mm hingga 350 mm kecuali di Miri iaitu menerima hujan kurang dari 200 mm.

“Bagi Sabah, kebanyakan bahagian dijangka menerima hujan sedikit kurang berbanding paras purata. Bahagian Kudat dianggarkan menerima jumlah sekitar 100 mm hingga 150 mm,” katanya.

Sandakan Sandakan pula dijangka menerima hujan antara 150mm hingga 200mm; Tawau, Pedalaman, Pantai Barat, serta Labuan pula dianggarkan menerima hujan kurang daripada 100mm.-BH Online

TERKINI Semua penumpang berjaya diselamatkan - Bomba


ALOR SETAR: Sebuah feri yang membawa 52 penumpang dari Terminal Feri Langkawi menuju ke Kuala Perlis, terbakar di kawasan perairan berdekatan Kuah dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, feri berkenaan dikatakan baharu sahaja bertolak sebelum bahagian enjinnya mengalami kerosakan dan mengeluarkan asap tebal.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.48 petang.

Katanya, pihak bomba menggerakkan dua bot penyelamat dan bot kevelar ke lokasi, selain turut dibantu bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan bot nelayan.

"Berdasarkan maklumat awal, kita dimaklumkan feri penumpang Dragon 01 dilaporkan terbakar dalam anggaran jarak kira-kira tiga meter dari kawasan pantai Langkawi berdekatan Jalan Beringin.

"Kita dimaklumkan terdapat penumpang terjun ke laut bagi menyelamatkan diri dan setakat ini semua penumpang berjaya diselamatkan," katanya.

Difahamkan, terdapat dua penumpang cedera ringan, manakala penumpang lain berjaya diselamatkan pihak berkuasa dan nelayan berdekatan.

PEMILIK bot pelancongan membantu memindahkan mangsa dari feri yang sedang terbakar sewaktu dalam perjalanan dari Terminal Feri Langkawi ke Kuala Perlis. - Foto IHSAN PEMBACA

Feri bawa 30 penumpang terbakar



SEBUAH feri penumpang terbakar di perairan Langkawi. - Foto ihsan pembaca

ALOR SETAR: Sebuah feri membawa kira-kira 30 penumpang dilaporkan terbakar selepas 10 minit bertolak dari Langkawi menuju ke Kuala Perlis, kira-kira jam 3 petang tadi, kata Pusat Gerakan Operasi Bomba Kedah.


SEBUAH feri penumpang terbakar di perairan Langkawi. - Foto ihsan pembaca

Berita lanjut menyusul.

Huawei lancar telefon pintar 5G boleh dilipat



BARCELONA: Huawei Technologies Co mengumumkan telefon bimbit terbarunya, Mate X, iaitu sebuah peranti yang skrinnya boleh dilipat, menjadikannya pesaing pertama Galaxy Fold keluaran Samsung.

Dilengkapi rangkaian teknologi generasi kelima (5G), ia dijual pada harga AS$2,600 (RM10,580) dan bakal diperkenalkan di pasaran dalam masa terdekat.

Mate X juga adalah telefon pintar boleh dilipat kedua yang diumumkan dalam tempoh seminggu, selepas Samsung memperkenalkan Galaxy Fold pada Rabu minggu lalu.

"Kami mula membangunkan teknologi skrin boleh dilipat ini dalam tempoh tiga tahun lalu.

"Ia sememangnya mahal, namun, terdapat pelbagai teknologi baharu pada peranti ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pengguna Huawei, Richard Yu.

Sekiranya dilipat, Mate X mempunyai skrin bersaiz 6.6 inci, iaitu besar sedikit daripada skrin Iphone XS Max keluaran Apple, dan apabila dibuka, peranti yang menggunakan sistem operasi Android itu akan menjadi sebuah tablet bersaiz lapan inci.

"Mate X menunjukkan Huawei sebagai pendahulu teknologi berinovasi, bagaimanapun ia mengambil masa beberapa tahun sebelum pengguna secara besar-besaran akan beralih kepada penggunaan 5G dan skrin boleh dilipat," kata penganalisis di Forrester, Thomas Husson.


RICHARD Yu menunjukkan telefon pintar Huawei Mate X di Barcelona. - Foto EFP

Dalam pada itu, pertumbuhan pasaran untuk telefon pintar semakin perlahan, dan pengeluar kini mencari jalan untuk memperkenalkan peranti baharu.

Disebabkan rangkaian kelajuan tinggi generasi seterusnya masih belum bersedia untuk kegunaan secara menyeluruh, syarikat kini beralih kepada menghasilkan peranti baharu bagi merancakkan lagi pesaingan.

Bagaimanapun, produk sedemikian hadir dengan kos yang tinggi dengan peranti dihasilkan Huawei itu bernilai 2,299 euro, tinggi sedikit berbanding 2,000 euro untuk Samsung Galaxy Fold yang akan mula dijual pada tahun ini.

Dengan harga telefon pintar premium kini mencecah AS$1,000 (RM4,069) seunit, pengguna kini beralih kepada alternatif yang lebih murah, sering dihasilkan oleh syarikat yang kurang dikenali.

Huawei sebelum ini menghadapi pemantauan global berhubung peralatan syarikat telekomunikasi itu, namun pertumbuhan prestasi syarikat itu sebagai pengeluar telefon pintar terus menjadi perhatian.

Tahun lalu, jenama Huawei mengatasi Apple untuk menjadi pengeluar telefon pintar kedua terbesar di dunia, demikian menurut data daripada firma penyelidikan pasaran, IDC.-Bloomberg

Kastam Sarawak rampas rokok dengan nilai cukai RM8.6 juta




MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menumpaskan usaha penyeludupan rokok ke negeri ini melalui jalan laut, dengan merampas 71,750 karton rokok putih yang melibatkan nilai duti dan cukai sebanyak RM8.6 juta. 

Kesemua karton rokok tersebut dimuatkan dalam dua buah kontena yang diimport dari Vietnam dan diikrarkan sebagai 'Rice Noodle' atau mi beras, yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Bintulu. 

Kedua-dua kontena berkenaan kemudian dipindah ke kapal untuk dibawa ke Miri. 
 
Pengarah Kastam Negeri, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha mengesahkan tangkapan tersebut memberitahu hasil daripada maklumat yang diperolehi, bahagian penguatkuasaan JKDM Bintulu dan Miri, telah menahan dua buah kontena yang di Pelabuhan Baram, Miri pada 22 Februari. 

"Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kontena tersebut, pasukan kita telah menjumpai sejumlah 71,750 karton rokok putih pelbagai jenama, bersamaan dengan 13,036,000 batang rokok dan yang melibatkan duti dan cukai sebanyak RM8.6 juta serta 2,036 kilogram 'Dried Rice Noodle'," katanya. 

"Mereka cuba mengelirukan pihak berkuasa, dengan mengikrarkan rokok-rokok yang diseludup itu sebagai 'Rice Noodle' melalui manifest import. 

"Pengimport di atas nama syarikat yang diragui kewujudannya pula, telah membawa masuk dagangan import berkenaan melalui Pelabuhan Bintulu dan dipindah kapal untuk di bawa ke Miri," tambahnya.-Utusan Borneo

Bahana alkohol




TINDAKAN lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol, tidur di tengah jalan, berakhir tragedi selepas maut dirempuh kereta, semalam.


Dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an ditemui maut di Kilometer 60 Jalan Miri - Bintulu, di Bintulu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat berkenaan 5.55 pagi sebelum anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Mayat mangsa ditemui di tengah jalan oleh orang ramai yang kemudian menghubungi polis.

“Hasil pemeriksaan pasukan paramedik mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia akibat parah di bahagian belakang badannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkipli berkata, beberapa saksi menyatakan mangsa kali terakhir dilihat meninggalkan majlis perkahwinan di rumah panjang berhampiran pada 12 tengah malam kelmarin.

“Hasil penelitian rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di premis timbang kelapa sawit berhampiran mendapati mangsa berjalan kaki dan kemudiannya berbaring di tengah jalan sebelum dilanggar dua kereta di laluan berkenaan.

“Usaha sedang dijalankan bagi mengenalpasti kedua-dua kenderaan terbabit serta pemandunya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.Harian Metro

Lelaki maut langgar lari




BINTULU: Seorang lelaki maut dalam satu kes langgar lari di Kilometer 60, Jalan Bintulu-Miri, sekitar pukul 5.30 pagi, pada Ahad.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu Inspektor Jeffery Jembol berkata, mangsa maut dikenali sebagai George Insol, 40, yang bekerja di sebuah pondok timbang sawit berhampiran. 

"Pihak polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini bagi memastikan pelakunya diseret ke muka pengadilan," ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan paramedik mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk pada bahagian kepala dan belakang badan.

Kes ini katanya akan disiasat di bawah Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, polis memohon mana-mana saksi yang terlihat kejadian agar tampil memberi keterangan di Balai Polis Trafik Bintulu dan menghubungi Jeffry di talian 013-8941151.-Utusan Borneo

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...