Pelantikan Latheefa, satu lagi u-turn oleh PH - Wan Junaidi





KUCHING: Pakatan Harapan (PH) telah gagal berpegang kepada janjinya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 iaitu tiada pelantikan politik bagi jawatan utama kerajaan.

MPerkara itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika mengulas pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Katanya sebelum ini PH telah berjanji, hanya kakitangan SPRM akan mengetuai suruhanjaya itu.

"Nampaknya, jelas ini (pelantikan Latheefa) adalah pelantikan politik," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datin Patinggi Datuk Juma'ani Tuanku Bujang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, Rabu.

Menegaskan beliau tidak bersifat peribadi terhadap Latheefa, sambil berkata untuk menjawat jawatan tertinggi dalam suruhjaya itu, mesti mempunyai pengalaman melakukan siasatan.

"Saya berpendapat beliau ada 'gaya' tetapi tidak mempunyai teknik-teknik penyiasatan, sesuatu yang kita pelajari menerusi pengalaman bertahun-tahun," ujarnya.

Beliau juga berpendapat, pelantikan Latheefa itu kerana beliau mempunyai hubungan rapat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Walaupun beliau telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli PKR serta merta sebaik dimaklumkan pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, (saya percaya) jauh di dalam hatinya, beliau masih lagi ahli PKR.

"Ambil contoh bekas Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin, sebaik beliau dilantik sebagai speaker, beliau melepaskan semua jawatan dipegangnya.

"Namun, begitu, masih ada pihak menganggap beliau orang Barisan Nasional (BN)," ujar ahli politik veteran itu.
Justeru katanya, pelantikan Latheefa tidak memberi gambaran yang baik terhadap PH.

Katanya, tiada penjelasan yang dapat menyakinkan mana-mana pihak mengenai pelantikan itu lebih-lebih lagi apabila terdapat dakwaan berleluasa mengenai pendakwaan terpilih dan penyiasatan kes-kes PH termasuk melibatkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng digugurkan.

Wan Junaidi yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri berharap tidak ada kakitangan atau pegawai SPRM yang 'patah semangat' disebabkan pelantikan mengejut itu.

Ini kerana menurutnya secara tradisi, agensi-agensi yang melakukan penyiasatan, pelantikan bagi jawatan tertinggi selalunya dalam kalangan pegawai polis atau SPRM.

"Ia harus seorang yang mempunyai latar belakang penyiasatan bukan seperti sekarang, dilantik secara tiba-tiba," ujarnya.

Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru pada Selasa (4 Jun) menggantikan Mohd Shukri Abdull yang melepaskan jawatan itu sebelum kontraknya tamat pada 17 Mei, 2020.

Beliau yang merupakan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, menjawat itu untuk tempoh kontrak dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...