KUCHING: Kerja pembinaan projek jalan sepanjang 8.5km yang menghubungkan Bako dengan Buntal dan Santubong dijangka akan dimulakan tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, projek berkenaan yang juga termasuk jambatan akan menggalakkan lagi sektor pelancongan dengan membuka kawasan di Bako Buntal Bay.
Beliau juga berkata, jalan baharu itu akan menjadi laluan terputus atau ‘missing link’ untuk rangkaian jalan pesisir negeri ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana meluluskan projek jalan yang menghubungkan Bako ke Buntal iaitu kira-kira 8.5km dengan sebuah jambatan. Kos projek kira-kira RM85 juta.
“Ia mungkin mula dibina menjelang tahun depan dan projek ini akan membuka seluruh kawasan di mana kita boleh pergi satu pusingan Kuching bermula dari Bako ke Buntal dan kembali ke Kuching kemudian ke Lundu dan sebagainya.
“Ia akan menjadi ‘missing link’ dari pesisir pantai Telok Melano hingga Buntal ke Bako, kemudian ke Samarahan, sampai ke Sebuyau dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita semasa rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di sini, semalam.
Menurut Dr Hazland, projek yang baharu diluluskan itu kini masih berada di fasa reka bentuk di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor dijangka dilantik tidak lama lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata penduduk di kawasan berkenaan tidak membantah projek terbabit sebaliknya mengalu-alukannya dengan hati terbuka.
“Ia akan menjadi jalan lurus, tidak melibatkan pemindahan rumah, kawasan tersebut adalah kawasan hutan dan beberapa kawasan pertanian dan mereka yang terjejas akan menerima pampasan.
“Mana-mana kawasan yang dipertingkatkan melalui pembangunan rakyat juga akan memberi manfaat sosioekonomi.
“Kita mungkin dapat melihat pembangunan skim perumahan baharu, tarikan pelancongan baharu, kondominium baharu dan sebagainya kerana kawasan itu sangat cantik, ia adalah sebuah teluk yang dipanggil Bako Buntal Bay,” katanya.
Projek jalan baharu telah diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan membuka Jambatan Bako pada 24 Februari lepas.
Sementara itu, lebih 5,000 orang menghadiri rumah terbuka yang dihoskan oleh Dr Hazland di dewan Resort Kasuma.-UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment