SIBU: Mayat seorang lelaki ditemukan dengan kesan luka dan mulai mereput di dalam bilik tidur di sebuah rumah panjang di Matu dekat sini, malam Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mayat mangsa dijumpai oleh bapanya setelah memecahkan bilik anaknya (si mati) selepas menghidu bau busuk sekitar pukul 8 malam itu.
"Mangsa dikenali sebagai Abdul Razak Abdullah, 33, ditemukan dalam keadaan terlentang dan bersila oleh bapanya di dalam bilik tidurnya," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut Stanley, pihak polis yang kemudian dimaklumkan telah pergi ke tempat kejadian menggunakan bot dan sampai di lokasi pada jam 12.10 tengah hari semalam.
"Siasatan awal dan pemeriksaan pihak polis terhadap mayat serta barang berkaitan kes di tempat kejadian mendapati ada tukul berada di tepi tangan mangsa," ujarnya.
Katanya lagi, ahli keluarga si mati mengesyaki Razak membunuh diri kerana kemurungan.
Stanley berkata, mayat telah dibawa ke rumah mayat Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.
"'Pemeriksaan mayat yang dilakukan oleh Dr Jeff Sia mendapati tiada kesan lebam atau kecederaan lain di badan mangsa serta tiada kesan mempertahankan diri," kata beliau.
Menurutnya lagi, hanya terdapat satu lubang di dahi mangsa dipercayai kesan hentakan dengan benda tumpul.
"Kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR) sehingga bedah siasat dilakukan," tambahnya.-UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment