KUCHING: Sarawak akan menggunakan sumber kewangan Kerajaan Negeri sendiri bagi meneruskan projek-projek pembangunan seperti dijanjikan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pimpinan negeri Sarawak dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersetuju mengambil alih tanggungjawab terhadap masalah, kebajikan serta kesejahteraan rakyat Sarawak menggunakan sumber kewangan negeri.
"Selaku pengerusi GPS, saya komited memberi kerjasama dan membina jalinan persefahaman dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) demi kebaikan seluruh anak Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini. Hari Raya Aidilfitri akan disambut esok.
Abang Johari berkata Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan masalah dihadapi rakyat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman dan pesisir Sarawak.
Kerajaan negeri katanya menerusi pelbagai agensi memberi komitmen padu bagi memastikan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kemudahan pengangkutan menjadi nadi hubungan setiap rakyat akan dipertingkatkan dari masa ke masa.
"Bekalan air bersih umpamanya, pada masa ini saya yakin Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sedang giat meningkatkan prasarana kemudahan bekalan air di luar bandar, diharap usaha panjang ini mengurangkan bilangan kampung terjejas.
"Begitu juga dengan projek bekalan elektrik, jalan raya dan jambatan-jambatan yang menghubung setiap ceruk negeri Sarawak, telah diluluskan dan sedang dalam proses perancangan serta pelaksanaan.
"Hasrat kerajaan memastikan setiap anak Sarawak menikmati kemudahan asas dalam kehidupan mereka, insya-Allah akan tercapai," katanya.
Sementara itu katanya, seluruh anak Sarawak terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan, pegangan agama dan fahaman politik harus bersama-sama berusaha mengekalkan perpaduan dan keharmonian di negeri ini.
Beliau berkata tiada yang lebih indah, melainkan kebahagiaan, kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negeri Sarawak untuk dinikmati oleh semua anak Sarawak dan seluruh rakyat Malaysia umumnya.
“Marilah kita sama-sama merayakan hari yang mulia ini dengan semangat muhibbah dan persaudaraan antara sesama manusia tanpa mengira perbezaan agama dan keturunan.
“Saling menghormati pegangan agama dan budaya masing-masing. Sesungguhnya Islam adalah agama fitrah, dengan keseluruhan ajarannya bermatlamatkan menjaga kemuliaan insan sebagai manifestasi keagungan dan kebesaran Allah S.W.T.,” katanya.
Abang Johari berkata amalan kunjung-mengunjung perlu diteruskan supaya hari raya menjadi lebih bermakna.
“Sebagai umat Islam, kita merayakan hari raya dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan sebagai tanda kemenangan mengharungi pelbagai dugaan selama sebulan dalam bulan Ramadan.
“Semoga kita semua dapat menghayati Ramadan tahun ini dengan sebaik-baiknya demi meningkatkan kualiti kehidupan ke arah yang lebih bermakna pada masa akan datang,” katanya.
Tahun ini, Abang Johari serta isteri, Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang akan mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada hari raya pertama dan kedua bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang.-UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment