KUCHING: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini cukup bermakna kepada seramai 20 keluarga asnaf dari Kampung Paroh dan Kampung Sejijak di sini apabila menerima kunjungan skuad bola sepak Kuching FA kelmarin.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu anjuran bersama Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA) dan Kelab Motor Motard Kuching dan dibantu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Paroh dan Sejijak.
Presiden KDFA, Fazzrudin Abdul Rahman berkata program dua dalam satu itu bagi menyantuni golongan yang memerlukan selain mendekatkan pemain-pemain skuad Kuching FA kepada penyokong tempatan di kedua-dua kampung tersebut.
“Pada Ramadan ini, Kuching FA juga ingin mengambil kesempatan melakukan kebajikan dan pada masa yang sama melebarkan ‘fan base’ kami.
“Pemain-pemain termasuk pegawai dan Exco KDFA turun ke Kampung Sejijak dan Paroh untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan.
“Kita berharap dengan sumbangan sedikit ini dapat menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu ketika ditemui di sini kelmarin.
Selain barangan keperluan, keluarga terbabit turut menerima duit raya disampaikan oleh Fazzrudin, Naib Presiden KDFA, Ahmad Zaki Zaidi serta barisan pemain Kuching FA.
“Program kali ini juga amat istimewa kerana kita membawa keseluruhan skuad Kuching FA untuk bersama-sama menyantuni keluarga terbabit,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Kehormat KDFA, Iswandi Ali Hassan dan barisan kejurulatihan Kuching FA.-UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment