Warga Miri perlu henti sebar maklumat tak tepat




MIRI: Pelancong asing, khususnya dari negara jiran Brunei yang kerap berkunjung ke bandar raya Miri tidak perlu bimbang dengan tahap keselamatan susulan insiden terbaru rompakan bersenjata, di sini, Khamis lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting, berkata polis sudah melakukan usaha terbaik untuk memburu seorang lagi penjenayah yang masih bebas.

Beliau berkata, penduduk di Miri perlu berhenti menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan imej bandar raya itu sebagai tumpuan pengunjung, kerana ia boleh memberi kesan terhadap sektor pelancongan.

“Kes rompakan itu menarik perhatian orang ramai. Saya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat komen atau spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan serta mencetuskan kebimbangan yang boleh mengganggu siasatan pihak polis,” katanya kepada NSTP di sini, hari ni.

Ting yang juga Setiausaha Agung SUPP mahu polis meningkatkan rondaan di kawasan kes serta kawasan kediaman lain di seluruh Miri.

Dalam kejadian itu, seorang anggota polis cedera di tangan kiri manakala seorang daripada tiga suspek ditembak di kedua-dua belah kaki selepas merompak sebuah rumah di Taman Jelita pada jam 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Ming Seah dilaporkan berkata, kecederaan yang dialami anggota itu di bahagian lengan kiri tidak serius dan polis sudah memberkas dua daripada perompak terbabit.

Namun, katanya, seorang perompak bertopeng sempat melepaskan diri daripada kepungan polis. Dengan itu polis sedang mengesan suspek itu yang dikenali sebagai Ng Cheng Hui berusia 37 tahun.

Suspek turut dikenali dengan nama panggilan Pui Kaw dan alamat terakhirnya adalah di Pujut Padang Kerbau, Miri.

Sementara itu, ketika mengulas lanjut, Ting berkata, beliau berharap orang ramai memberi kerjasama kepada polis jika mengesan kehadiran individu mencurigakan sebagai usaha membanteras jenayah di Miri.

Katanya, orang awam harus berhenti berfikir jenayah seperti itu tidak akan menimpa dirinya dan harus mengambil tindakan terbaik bagi mengelakkan menjadi mangsa rompakan.

“Jangan berjalan di tempat sunyi dan elakkan berjalan seorang diri, memakai barang kemas, berharga yang menarik perhatian penjenayah,” katanya.

Beliau berkata, terdapat kes penjenayah datang ke rumah mangsa dan meminta alamat atau berpura-pura bahawa mereka mahu menghantar surat atau pakej tertentu.

“Warga emas dan wanita harus bertindak pantas dan sentiasa berjaga-jaga apabila berjalan bersendirian,” katanya.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...