Tiada keperluan buat referendum kedudukan Sarawak dalam Malaysia - Hasidah

 

KUCHING: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (gambar) menegaskan tiada keperluan untuk mengadakan referendum mengenai kedudukan Sarawak dalam Malaysia. 
Jelasnya, perjuangan menuntut hak-hak Sarawak dilakukan dalam konteks negara Malaysia serta dalam perimeter Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 
"Saya hendak ulangkan di sini bahawa perjuangan kita untuk mengembalikan hak-hak kita mesti dilaksanakan dalam perimeter Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan dalam konteks negara Malaysia. 
"Inilah pendirian kita (Sarawak), tidak perlu kita bercakap perkara lain (luar dari konteks tersebut) kerana Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menegaskan bahawa perjuangan kita dalam menuntut hak Sarawak mengikut perimeter Perlembagaan Persekutuan dan MA63," katanya. 
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan (GPS-Jemoreng) Datuk Dr Juanda Jaya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di sini hari ini. 
Sharifah Hasidah memberitahu, setakat ini perundingan yang dilaksanakan berjalan dengan baik di peringkat tertinggi iaitu Jawatan Kuasa Khas Kabinet Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal. 
"Kita juga berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas parlimen berhubung pelaksanaan MA63 bagi memastikan perbincangan tentang hak Sarawak di bawah perjanjian tersebut dibincangkan secara berterusan dalam parlimen, " tambahnya. 

Terdahulu, menjawab pertanyaan (GPS-Demak Laut) Dr Hazland Abg Hipni dan Juanda mengenai langkah yang telah, sedang dan akan diambil bagi memastikan hak Sarawak seperti terkandung dalam MA63 dikembalikan, Hasidah menjelaskan, perbincangan itu dilakukan secara berterusan. 
Malah, dedahnya, kerajaan persekutuan baharu (Pakatan Harapan) Jawatankuasa Khas Kabinet Pemandu melibatkan kerajaan Sarawak, Sabah dan Persekutuan yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ditubuhkan pada 5 September lalu. 
Jelasnya, jawatankuasa itu bagi mengkaji dan menyelaraskan MA63 secara keseluruhan termasuk perkara berkaitsn royalti minyak dan pembangunan Sabah dan Sarawak. 
"Di antara perkara yang kerajaan Sarawak minta untuk dimasukkan ke dalam agenda jawatankuasa ini termasuklah lebih kuasa otonomi dan tambahan sumber kewangan turut diberikan kepada Sarawak. 
"Beberapa siri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pemandu, Jawatankuasa Teknikal dan juga Jawatankuasa Kerja telah diadakan bagi membincangkan perkara ini,"katanya.
Menurutnya lagi, Jawatankuasa Khas Kabinet Pemandu ini mempunyai tempoh enam bulan untuk mengemukakan laporan penuh mengenai kajian tersebut.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...