KUCHING: Kita ada pemimpin-pemimpin pelapis yang akan menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dalam Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS).
Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata organisasi seperti SABERKAS ini mempunyai kepimpinan yang bertanggungjawab dan mempunyai perasaan terhadap orang di bawah mereka.
“Apabila kita sudah mengamalkan budaya sebegini, kami (pemimpin yang sudah berumur) yang memegang jawatan Presiden SABERKAS akan menyerahkannya kepada orang muda.
“Tidak lama lagi saya akan menyerahkan jawatan ini (Presiden SABERKAS) kepada orang yang lebih muda daripada saya untuk memimpin SABERKAS.
“Kita ada pemimpin-pemimpin pelapis yang dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dan seterusnya dapat menyambungkan tradisi dan budaya kita sama ada diperingkat negeri atau di peringkat operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS-BERNAS 2019M/1440H di Masjid Darul Hana di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai SABERKAS, Datuk Patinggi Abang Johari yang juga Presiden SABERKAS percaya organisasi ini mempunyai pemimpin yang bertanggungjawab terhadap masyarakat.
“Saya rasa organisasi seperti hari ini (SABERKAS) mempunyai kepimpinan dan kebertanggungjawaban serta mempunyai perasaan dengan orang-orang di bawah mereka.
“Dan juga hubungan di antara organisasi dengan masyarakat.
“Sebab itu, orang muda-muda ini kita beri latihan. Jangan anda semua hairan.
Kebanyakan ahli-ahli SABERKAS ini terdiri daripada Ahli Yang Berhormat. Ini bukan bermakna ahli-ahli SABERKAS itu boleh dipilih sebagai Yang Berhormat. Itu secara kebetulan dan mereka ini dilatih di dalam SABERKAS,” tambahnya.
Beliau turut menceritakan bagaimana dirinya semasa di dalam SEBERKAS telah dilatih oleh pemimpin terdahulu.
“Apa yang penting ialah kita telah melatih.
Saya percaya secara kebetulan saya telah dilatih juga oleh Presiden SABERKAS Allahyarham Tun Abdul Rahman Yaakub, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Pehin Sri Adenan Satem.
“Dan, akhirnya kita telah dapat menyusunkan pimpinan untuk meneruskan usaha kita termasuk budaya kita,” ujarnya.
Datuk Patinggi Abang Johari menjelaskan objektif SABERKAS mengadakan program sebegini di bulan Ramadan mempunyai dua objektif iaitu membayar zakat fitrah dan melatih golongan belia dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Bulan puasa merupakan bulan untuk kita menjalankan ibadah seperti mengerjakan sembahyang terawih dan membaca al-Quran termasuk amalan untuk membantu masyarakat kita termasuklah bersedekah.
“Sebab itu, di bulan puasa kita diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah. Kita diwajibkan membayar zakat sebelum menjelangnya sembahnyang aidilfitri.
“Konsep zakat ini adalah untuk membantu asnaf dan juga orang kurang upaya (OKU) di mana kita galakkan menjalankan segala ibadah kebajikan.
“Manakala, keduanya melatih semua bidang supaya dekat dengan masyarakat, dekat dengan masjid dan dekat untuk kita beribadah,” katanya.
Hadir sama Naib Presiden SABERKAS Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Agung SABERKAS YB Safiee Ahmad, Pengerusi SABERKAS Demak Laut YB Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi SABERKAS Saribas YB Razi Sitam, Pengarah BERNAS Datuk Ismail Yusuf, Pengerusi Yayasan Ikhlas Dato’ Mohd Rosli Ramli dan Ketua-ketua Masyarakat-SarawakVoice
No comments:
Post a Comment