KUCHING: Lebih banyak lokasi bakal diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) di Sarawak bagi tujuan pemuliharaan habitat dan ekosistem.
Ia termasuk Telok Buntal Bako, di sini yang berpotensi menjadi habitat pelbagai spesies burung air yang bermigrasi.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, berkata hasil pemantauan dilaksanakan berjaya menemui pelbagai spesis burung air di kawasan berkenaan.
"Taman Negara Bako adalah kawasan dilindungi sepenuhnya oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC). Ini adalah bukti kerajaan negeri komited dalam usaha memulihara ekosistem tanah bencah.
"Habitat burung air akan kekal dilindungi, dengan seluas 6,610 hektar sudah diwartakan membabitkan kawasan hutan paya bakau untuk tujuan itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Len mengakui wujud beberapa halangan dan isu pemuliharaan berkaitan burung air.
"Perkara pemuliharaan berkenaan disifatkan masih baharu dalam kalangan penduduk setempat.
“Jadi, program pendidikan dan kesedaran dalam hal ehwal pemuliharaan burung air perlu diutamakan agar semua pihak memahami kepentingannya," katanya.
Katanya, burung air boleh dijadikan sumber ekonomi melalui aktiviti berkaitan pelancongan, selain daripada nilai biodiversiti di kawasan dilindungi.-BH Online
No comments:
Post a Comment