Sarawak Energy ambil berat insiden curi kabel, vandalisme





KUCHING: Sarawak Energy mengambil berat tentang insiden curi kabel dan vandalisme di negeri ini yang mengakibatkan ganguan bekalan elektrik dengan kejadian terbaharu berlaku di Satok, Astana, Samariang dan Santubong sekitar jam 5.50 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, empat kabel utama 33kV yang terletak di saluran parit dekat Emart Matang dipercayai dibakar dalam usaha memotong dan mengeluarkan tembaga dari kabel. 

Kabel terbabit berfungsi menghubungkan bekalan elektrik dari Matang EHV Substation ke Substation Astana dan Satok.

Bagaimanapun, pasukan teknikal Sarawak Energy berjaya memulihkan semula bekalan elektrik kepada pengguna terjejas dalam tempoh lima minit iaitu tepat pada waktu untuk masyarakat Islam berbuka puasa bagi kawasan terjejas.

Ekoran kejadian itu, satu laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Naib Presiden (Pengagihan) Sarawak Energy Siti Aisah Adenan mengucapkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat yang bertindak pantas mengawal keadaan.

"Kerosakan disebabkan perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini amat dikesali dan akan mengambil masa sehingga dua minggu untuk dibaik pulih bagi menggantikan kabel baharu.

"Kita berharap ia dapat diselesaikan sebelum musim perayaan Gawai dan Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan alternatif sementara yang digunakan mencukupi untuk menampung tempoh kecemasan seperti ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan, banyak berlaku kecurian kabel dan vandalisme ketika musim perayaan yang amat mengecewakan semua pihak terutama pengguna yang akan mengalami gangguan.

Sehubungan itu, Siti Aisah meminta kerjasama daripada orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan melibatkan harta benda Sarawak Energy di kawasan masing-masing.

"Ini bagi memastikan tiada gangguan bekalan elektrik pengguna ketika musim perayaan dan kita juga telah menyediakan pasukan teknikal yang bersedia jika berlaku sebarang insiden gangguan elektrik sepanjang tempoh perayaan ini," tambahnya.

Mengulas lanjut tentang kes kecurian kabel dan vandalisme di negeri ini, beliau berkata, sejak tahun lepas Sarawak Energy mencatatkan 163 kes dengan kerugian berjumlah RM2 juta.

"Mendekati kemudahan elektrik adalah amat bahaya dan mencuri kabel boleh mendatangkan kecelakaan selain gangguan kepada pengguna lain.

"Malah, terdapat beberapa kes kematian direkodkan berlaku ketika pelaku mencuri kabel dan ini adalah sangat tragik," katanya.

Jelasnya lagi, pada Januari tahun ini, seorang lelaki maut selepas terbakar ketika cuba mencuri kabel elektrik di Tudan Substation, Miri.

"Sarawak Energy akan meneruskan kerjasama dengan polis dan meningkatkan rondaan di setiap kemudahan elektrik yang menjadi sasaran pencuri.

"Kita juga berharap orang awam terus membantu kita dalam menjadi mata dan telinga untuk memastikan tiada berlaku insiden kecurian kabel di kawasan masing-masing," ujarnya.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy yang beroperasi 24 jam setiap hari untuk melaporkan sebarang insiden berkaitan.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...