PKR Kanowit kecam tindakan MDK rampas barang penjaja

SIBU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Kanowit bersedia membantu kira-kira 50 penjaja yang kehilangan hasil jualan dan peralatan apabila dirampas Majlis Daerah Kanowit (MDK) hari ini.

Difahamkan, tindakan itu diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu apabila penjaja-penjaja tersebut enggan berpindah dari Pasar Serbaguna ke premis baharu di Jalan Bungalow di sini.

Ketua Cabang PKR Kanowit, George Chen berkata pasukan peguam parti akan mencari jalan penyelesaian untuk membantu para penjaja yang menanggung kerugian dari segi pendapatan susulan tindakan pihak majlis.

Katanya, para penjaja yang terlibat berpindah ke lokasi baharu iaitu Terminal Bas pada 1 Mac tahun lepas namun hampa, dan kembali ke tempat lama selepas tidak memperolehi keuntungan yang diharapkan kerana kurang mendapat sambutan orang awam.

Bertindak daripada itu, pihak majlis mengeluarkan notis baharu kepada para penjaja terbabit untuk berpindah semula ke Jalan Bungalow pada 1 April namun mereka tetap enggan berganjak. 

"Pagi tadi sekitar pukul 9.30 pagi, pihak penguatkuasa dari MDK dan dibantu oleh pasukan PBT dari Sarikei telah mengambil tindakan tegas terhadap mereka dengan merampas semua barangan mereka termasuk kanopi, dan merobohkan tempat mencari rezeki mereka," kata George dalam satu kenyataan hari ini.

Rakaman video berdurasi 2.17 saat turut tular di media sosial susulan kejadian tersebut.
 

George turut menyifatkan tindakan PBT ke atas para pejaja sebagai kejam.

"Mereka dipaksa berpindah ke Terminal Bas di Jalan Bungalow dan sesetengah daripada mereka hanya mampu memperoleh pendapatan RM5 sehari kerana kurang mendapat sokongan daripada orang ramai," jelas beliau.

Akibat tindakan itu, katanya ramai penjaja kehilangan sumber pendapatan sehingga menjejaskan perbelanjaan seharian untuk anak-anak mereka yang masih sekolah dan ahli keluarga terutama warga tua yang menunggu untuk diberi makan di rumah.

George turut mengutuk MDK kerana tidak bertimbang rasa menggunakan pegawai penguatkuasa dari Majlis Daerah Sarikei mengambil tindakan tegas terhadap penjaja yang tidak berdaya terbabit.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Kanowit, ASP Mohd Faizal Nawi ketika dihubungi memberitahu pihaknya juga berada di lokasi kejadian untuk memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Setakat ni hanya seorang lelaki ditahan kerana mengganggu penjawat awam menjalankan tugas dan ianya adalah langkah-langkah  pencegahan dan keselamatan sahaja," ujarnya.

Usaha menghubungi pihak MDK bagi mendapatkan komen mengenai insiden itu bagaimanapun gagal.-UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...