Penipuan kerja di Kemboja: Suspek keenam dihadapkan ke mahkamah



 


KUCHING : Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan penipuan kerja di Kemboja.

Mohd Ghaffar Abd. Jamal mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menipu dua warga Sarawak, masing-masing berusia 21 dan 26 tahun, di Mahkamah Majistret berasingan. 

Dia didakwa menipu mangsa pertama di perumahan Jalan Matang pada September 2018 dan kemudiannya menipu mangsa kedua di sebuah rumah penginapan di Jalan Tun Abang Haji Openg pada 22 November 2018.

Peguam tertuduh, Fadzillah Osman memohon agar tertuduh dibenarkan ikat jamin memandangkan tertuduh membantu ibunya di kedai makan, di samping tidak dapat melancong ke luar negara kerana pasportnya ditahan mahkamah buat sementara waktu.

Majistret Nuruhuda Mohd Yusof menetapkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan dua penjamin tempatan. 

Mahkamah turut menyimpan pasport tertuduh sehingga kes selesai dan menetapkan 29 Mei sebagai tarikh pengurusan kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hafiz Musa. 

Manakala di mahkamah berasingan, Majistret Mohd Syukri Mokhtar menetapkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin yang terdiri daripada ahli keluarganya.

Syukri turut menetapkan Ghaffar untuk melapor diri ke balai polis berhampiran setiap dua minggu sehingga pengurusan kes pada 13 Jun.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadratun Naim Mohd Saidi.

Ghaffar yang direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) minggu lepas, didakwa di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan bagi kedua-dua pertuduhan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 5 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh membayar ikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Ghaffar, yang merupakan suspek keenam, diberkas polis sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, 25 April lalu. 

Kesemua 47 rakyat Malaysia, termasuk 40 dari Sarawak, dibebaskan dari penjara Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja dan tiba di tanah air pada 17 Februari lepas.

Setakat ini, enam tangkapan telah dibuat berhubung kes itu, di mana dua telah dituduh di mahkamah.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...