Ngerandang Jalai meriahkan sambutan Gawai Dayak




BINTULU: Sambutan perayaan Gawai Dayak Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini dimeriahkan dengan acara Ngerandang Jalai Gawai 2019 yang disertai lebih 2,000 masyarakat Dayak.

Ngerandang Jalai Gawai dalam bahasa Iban yang bermaksud perarakan Gawai diadakan sepanjang hampir dua kilometer di tapak Lapangan Terbang Bintulu lama, di sini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata perarakan itu bukan sahaja mempamerkan keunikan budaya masyarakat Dayak, malah menunjukkan semangat perpaduan tinggi dalam masyarakat itu.

Beliau berkata, acara itu menjadi simbol penyatuan pelbagai suku etnik Dayak yang terdapat di Sarawak termasuk di Kalimantan, Indonesia, tempat asal masyarakat Dayak sebelum berhijrah ke Sarawak pada zaman silam.

“Semangat perpaduan yang jitu dalam masyarakat Dayak jelas dalam acara yang diadakan hari ini,” katanya ketika berucap merasmikan Acara Ngerandang Jalai Gawai 2019, di sini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Chiew Chiu Sing; ADUN Pujut, Dr Ting Tiong Choon; Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu, Dr John Brian Anthony dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKMM, Shakib Ahmad Shakir.

Dalam acara penuh warna-warni itu, seramai 2,000 peserta dari 48 kontinjen yang terdiri daripada persatuan dan pertubuhan, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak seluruh Sarawak serta komuniti Dayak dari Kalimantan Barat, Indonesia, menyertainya.

Gobind berkata, menerusi penganjuran acara itu, kementeriannya membantu masyarakat Dayak mempromosikan serta menghidupkan semula kebudayaan mereka yang semakin jarang dilihat ketika ini.

“Justeru, kita juga mahu agar masyarakat Dayak terus mengekalkan identiti serta kebudayaan unik mereka bagi tatapan generasi akan datang, meskipun kita kini berada di zaman serba moden,” katanya.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...