Masih ramai rakyat Sarawak keliru mengenai EFS

BINTULU: Masih ramai di kalangan rakyat Sarawak keliru tentang EFS (Endowment Funds Sarawak) yang telah dilaksanakan awal tahun ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah berkata kekeliruan ini menyebabkan masih ramai di kalangan anak-anak Sarawak yang lahir pada tahun ini belum didaftarkan dalam EFS.

“Setiap anak Sarawak yang lahir pada tahun ini adalah layak memohon EFS dengan mendapat bantuan sebanyak RM1,000. Wang ini akan dimasukkan di dalam akaun mereka dan hanya boleh dikeluarkan apabila anak itu berumur 18 tahun.

“Saya merayu setiap ibu bapa yang mempunyai anak yang baru dilahirkan bermula tahun ini untuk memohon EFS demi masa depan anak-anak.

“EFS ini boleh digunakan untuk membantu menguruskan masa depan mereka selepas mereka berumur 18 tahun sama ada dalam menyambung pelajaran di peringkat institusi pengajian tinggi atau menempuhi alam pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran “Riangnya Gawai Raya” The Spring Bintulu Shopping Mall Bersama PERYATIM di sini, semalam.

Dalam pada itu, Dato Sri Hajah Fatimah turut juga menjelaskan berkenaan dengan bagaimana EFS ini berfungsi kerana sehingga kini masih ada yang kurang faham.

“EFS hanya boleh dikeluarkan apabila anak ini sudah pun menjangkau umur 18 tahun. Sepanjang tempoh itu, wang tersebut tidak boleh dikeluarkan.

“Sekiranya berlaku kematian, waris boleh mengeluarkan EFS untuk keperluan menguruskan jenazah anaknya itu,” tambahnya.

EFS merupakan satu inisiatif Kerajaan Sarawak yang telah diumumkan Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi Johari Tun Openg semasa membentangkan Bajet 2019 Sarawak November lepas dan mula dilaksanakan pada awal tahun ini.

Pada majlis itu turut diadakan Majlis Sejambak Kasih sempena Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri dengan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 80 anak-anak dari PERYATIM dan berbuka puasa bersama.

Terdahulu Pengurus Perkhidmatan The Spring Andy Song melahirkan penghargaan dan terima kasih di atas kehadiran Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak yang sudi menerima jemputan The Spring dalam merasmikan tema yang berkonsepkan Hari Gawai Dayak & Hari Raya Aidilfitri.

“Kehadiran Dato Sri Hajjah Fatimah ke majlis ini atas undangan kami amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih.

“Hiasan perayaan Gawai Raya yang bercorak rumah kampung dan baruk ini adalah inisiatif The Spring dalam sama-sama memeriahkan sambutan kedua-dua perayaan ini pada tahun ini.

“Tiada apa yang dapat menyentuh hati apabila melihat ibu dan bapa bersama membeli belah pakaian untuk anak-anak mereka dan begitu juga anak-anak membeli baju untuk ibu bapa mereka di samping keterujaan anak-anak mencari pakaian untuk sambutan Gawai dan Aidilfitri,” katanya.-SarawakVoice

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...