LAKSA SARAWAK BUAT RAMAI KECUR AIR LIUR DI BEIJING




BEIJING, 18 Mei: Bayangkan masakanterkenal dari Borneo Malaysia, Laksa Sarawak dihidang dan dimakan di tengah-tengah kota Beijing dan kemudian ais krim potong kacang merah sebagai pencuci mulut, pastinya ia akan membuat sesiapa sahaja kecur air liur.
 
Lebih menarik, orang ramai sanggup beratur panjang sehingga 30 minit semata-mata, untuk menikmati juadah Malaysia itu. Ia antara gelagat pengunjung Festival Makanan Asia yang berlangsung dari 16 hingga 22 Mei bersempena ‘Conference on Dialogue of Asian Civilizations (CDAC)’ di sini.
 
Festival makanan yang berlangsung di Olympic Park, Beijing itu turut disertai 100 pengusaha makanan dari 47 negara Asia.
 
Menurut pemilik Restoran MULU, Jasmine Kho, pengunjung berpusu-pusu seawal 10 pagi, dan sanggup beratur merasai keenakan laksa Sarawak resepi istimewanya.
 
“Resepi laksa ini turun menurun dari nenek saya, dan untuk menjadikan ia istimewa, saya menggunakan 36 rempah khas yang dibawa dari Malaysia,” kata anak jati Sarawak yang menempa nama di Beijing melalui restorannya itu.
 
Jasmine berkata jualan laksa Sarawak di gerainya sentiasa laris dan jualan tertinggi dicatatnya semalam, iaitu melebihi 300 mangkuk.
 
Bagi pengunjung dari Kemboja, Mork Khnet, 23, beliau berkata rasa laksa Sarawak membuatnya berasa rindu kepada kampung halamannya.
 
“Rasanya amat enak, dan ia hampir kepada makanan di Kemboja, dan sekarang saya betul-betul rindukan kampung asal saya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
 
Sementara itu, bagi pelajar Universiti Peking, Beijing dari Myanmar, Tawtar Win Pyae Sone berkata makanan Malaysia adalah unik baginya.
 
“Sedap sangat!, Ia amat sedap dan unik,” katanya.
 
Jasmine berkata dengan menyertai festival itu, selain dapat mempromosi makanan Malaysia, ia juga menjadi platform untuk mempamerkan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa.
 
“Selain masakan, di festival ini juga kami turut menunjukkan pakaian tradisional Melayu iaitu baju kurung dan baju Melayu. Ramai pengunjung terutamanya masyarakat tempatan suka dengan pakaian ini kerana ia kelihatan sopan dan menarik,” katanya.-BERNAMA

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...