KUCHING: Kompleks Muzium Sarawak (SMC) yang memainkan peranan penting dalam bidang pemuziuman, sejarah, budaya dan warisan, bakal menjadi mercu tanda baharu yang bakal menarik pelancong dan orang awam di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penyerahan SMC, muzium kedua terbesar di Asia Tenggara, bakal dibuka kepada orang awam pada hujung tahun 2020.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dun, semalam.
“SMC akan memainkan peranan penting dalam bidang permuziuman, sejarah, budaya dan warisan Sarawak kelak.
“Selain mempamerkan koleksi yang unik berkaitan Sarawak, muzium ini nanti diharap akan menjadi pusat koleksi, rujukan dan pusat pembelajaran pada masa akan datang,” katanya.

Abdul Karim menekankan peranan muzium sebagai pemegang khazanah dan warisan yang merupakan sumber rujukan, pusat konservasi, penyelidikan dan pendidikan.
“Oleh itu, Jabatan Muzium Sarawak (JMS) melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dapat menanamkan semangat kecintaan terhadap
Warisan, Sejarah dan Budaya Sarawak.
“JMS terlibat dalam melaksanakan beberapa projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11),” kata Abdul Karim lagi.
Beliau memberitahu, antara projek JMS adalah Muzium Warisan Melayu Darul Hana, Kajuan Muzium Lombong Emas di Bau dan Muzium Pembangunan Limbang Galeri Sejarah Pentadbiran Limbang.
Jelasnya lagi, JMS dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara bakal anjurkan Persidangan Antarabangsa Arkeologi bertemakan ‘Promoting Archeology Towards Heritage anda Tourism’ pada 26 hingga 28 September 2019.
“Seminar ini diadakan untuk memberi maklumat terkini dalam kajian arkeologi di seluruh dunia termasuk Malaysia, khususnya Sarawak.
“Di samping itu, ia juga akan dapat meningkatkan kepentingan Gua Niah dalam penyelidikan arkeologi di dunia,” ujarnya.-SarawakVoice
No comments:
Post a Comment