KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau mahu mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo untuk membincangkan acara-acara Sarawak yang tidak mendapat liputan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
"Sudah tentu, saya mahu berjumpa dengan beliau (Gobind), atau wakil rakyat Parti Tindakan Demokratik (DAP) dari Sarawak berjumpa dengannya membincangkan perkara ini.
"Bagaimanapun, saya berharap beliau (Gobind) boleh membuat keputusan sendiri dan tidak menggunakan RTM sebagai 'alat' untuk bermain politik," katanya pada sidang media di Pusat Media Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Hadir sama, ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, ADUN Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya dan ADUN Lambir Ripin Lamat.
Karim berkata memang tidak dapat dinafikan RTM membuat liputan kepada acara-acara negeri namun melakukannya seperti 'melepaskan batuk di tangga'.
Beliau menegaskan sebagai jabatan penyiaran negara, RTM tidak seharusnya digunakan sebagai alat politik kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Tambahnya, tindakan RTM di bawah Gobind seperti 'mendesak' Sarawak membenci RTM.
"(Gobind) belajarlah menjadi menteri yang dihormati dan tidak melihat kita dan melawan kita (Sarawak) seperti bukan sebahagian daripada Malaysia," tegasnya.
Beliau mengulangi, kenyataannya berhubung perkara itu pada 7 Mei lalu adalah bukan tidak berasas seperti dikatakan oleh Gobind.
Karim mengakui RTM ada membuat liputan acara-acara atau program-program di negeri ini, namun wajah pemimpin-pemimpin politik Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah ditayang.
"Sarawak juga kerajaan yang sah dan tidak seharusnya dilayan sebegini rupa. Lebih mengecewakan RTM tidak membuat liputan kepada acara antarabangsa seperti Festival Filem dan Anugerah Antarabangsa ASEAN (AIFFA).
"Setiap penganjuran, edisi pertama hingga ketiga RTM membuat liputan siaran langsung tetapi edisi keempat tiada...Ini bukannya acara negeri, ia melibatkan negara Asia, cuma diadakan di Sarawak.
"Maka jelas tindakan RTM ke atas Sarawak mempunyai agenda politik terhadap kerajaan GPS," ujarnya.-UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment