Harga barang 10 barang popular boleh dikurangkan


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kanan) melancarkan Bank Makanan Siswa pada Majlis perasmian Bank Makanan Siswa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) . - Foto

KUALA LUMPUR: Hasil analisis awal terhadap laporan kajian rantaian bekalan terhadap 10 jenis barang ‘popular’ mendapati harganya mampu diturunkan sekali gus memberi manfaat kepada pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kajian itu juga mengenal pasti punca kenaikan harga barang terbabit menerusi rekod diperoleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Kita sudah mengenal pasti punca, pastinya harga akhir akan dapat diperbetulkan namun ia memerlukan masa dan kajian berterusan yang membabitkan pelbagai bidang dan penguatkuasaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Food Bank Siswa dan Bazar Aidilfitri di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini.

Beliau berkata kementerian juga mempunyai pelbagai rekod bermula pada peringkat pengimport sehingga peruncit untuk melakukan pemantauan itu.

“Keyakinan ini kerana kami sudah tahu pengimport, pengedar dan pemborong kerana mereka berdaftar dengan SSM. Apabila bukti mencukupi, pegawai akan terus pergi kepada (premis) mereka,” katanya.

Beliau berkata, pada lawatan itu nanti, pegawai kementerian akan menyerahkan Notis 21 mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kepada pengimport, pemborong atau peruncit supaya semua dokumen dan rekod perniagaan diserahkan untuk siasatan.

“Ini akan membolehkan punca kenaikan harga dikenal pasti dan kita percaya, jika berkesan, ia akan membantu mengurangkan harga barangan,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media semalam mengenai laporan awal kajian rantaian bekalan 10 barangan terpilih mendapati wujud kegiatan ‘kartel’ yang mengaut keuntungan pada kadar terlalu tinggi sehingga mencecah 133 peratus.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jenis barang terbabit kerana boleh mengganggu siasatan.

Menjawab soalan, beliau berkata kementerian belum sampai ke tahap mengenal pasti dalang di sebalik kartel itu termasuk pembabitan orang politik atau kumpulan tertentu.

“Untuk mengetahui siapa dalangnya, ia belum sampai ke tahap itu kerana apa yang dilakukan sekarang baru di peringkat analisis harga dalam rantaian. Analisis membabitkan membandingkan harga yang diperoleh dari pihak industri dan Majlis Harga Negara maka dari situlah, wujudnya peranan orang tengah,” katanya.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...