KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membawa perkara berkenaan tuntutan hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke muka pengadilan sekiranya Kerajaan Persekutuan gagal menunaikan rundingan.
Ahli Parlimen Santubong YB Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sekiranya tuntutan dan rundingan tidak berjaya, Kerajaan Sarawak akan membawa perkara ini ke muka pengadilan di mahkamah.
“Kita selalu bangkitkan sekiranya kita gagal di sini (rundingan), kita akan bawa menggunakan sudut undang-undang.
“Saya sudah berbincang dengan Peguam Negeri, kalau mereka (Kerajaan Pakatan Harapan) gagal dan tidak menunaikan dan masih lagi hak kita dalam Malaysia tidak diberi atau diceroboh…, kita akan bawa ke mahkamah yang membuat keputusan secara adil,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Seminar MA63 Parlimen Santubong di sini, semalam.
Mengenai tempoh rundingan MA63, Dato Sri Dr Wan Junaidi menjelaskan Sarawak tidak memperuntukan sebarang tempoh masa bagi menjayakan rundingan menuntut hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dari Kerajaan Persekutuan.
“Hak-hak secara sengaja atau tidak sengaja telah lama berlaku sejak tahun 1963 lagi.
“Perundingan akan mengambil masa yang amat panjang kerana sudah terlalu banyak perkara dan hak yang terhakis dalam Perlembagaan selama ini,” katanya.
Beliau turut mendedahkan hak-hak yang terhakis dalam MA63 ini menyentuh peruntukan kewangan dan kemampuan Kerajaan Persekutuan untuk menyalurkannya.
“Namun, mereka memilih keluar poket kiri, masuk poket kanan untuk Sarawak yang mana negeri lain dapat membangun namun mengapa pembangunan di Sarawak terabai,” ujarnya.
Sementara itu ketika ditanya mengenai Seminar MA63 ini, Dato Sri Dr Wan Junaidi menjelaskan seminar ini diadakan bertujuan untuk memberi pemahaman yang lebih mendalam kepada pemimpin di peringkat akar umbi seperti Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
“Ini membolehkan di peringkat ketua masyarakat dan bawahan lebih faham dan tahu dan mereka tidak termakan dengan hasutan di media sosial,” jelasnya.
Hadir sama Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air Luar Bandar) merangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai YB Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, ADUN Tanjong Datu YB Datuk Patinggi Datuk Amar Hajah Jamilah Haji Anu dan ADUN Demak Laut YB Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni.-SarawakVoice
No comments:
Post a Comment