Taib mahu Kerajaan Sarawak terus beri perhatian kepada golongan miskin




KUCHING: Dalam usaha membangunkan sosioekonomi Negeri Sarawak, Kerajaan  perlu terus memberi fokus kepada golongan miskin.

Kata Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud, kerajaan harus merancang program dan projek khas untuk golongan ini dengan lebih teliti bagi memastikan ia mencapai objektif dan memberi faedah kepada golongan sasaran.

“Golongan miskin perlu diberi bantuan melalui program latihan kemahiran dan program peningkatan pendapatan, termasuklah projek keusahawanan dan industri kecil-kecilan. Pembinaan perumahan yang mampu dimiliki oleh golongan ini juga perlu diperluaskan,” katanya dalam ucapan pembukaan Persidangan Pertama Penggal keempat Dun Sarawak Ke-18, pagi tadi.

“Saya menyeru semua pihak yang berkaitan, untuk terus berganding bahu bagi menjayakan program dan projek pembasmian kemiskinan di negeri ini,” katanya.

Taib turut gembira bahawa Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg  memberi fokus yang sangat tinggi terhadap pelaksanaan Ekonomi Digital.

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan seperti penubuhan Sarawak Multimedia Authority,pelancaran Sarawak Digital Economy Strategy 2018-2022, Innovation HubSarawak Pay, Digital Village dan kerjasama latihan tenaga mahir di antara Centexs dan Huawei.

“Usaha ini akan menyediakan asas yang kukuh bagi Negeri Sarawak dalam pelaksanaan Ekonomi Digital. Saya percaya, penggunaan aplikasi teknologi digital dalam pelbagai sektor ekonomi seperti pelancongan, perindustrian, pertanian dan pembangunan bandar pintar, akan terus mempertingkatkan daya saing kita di peringkat global,” katanya.

Ujarnya, penggunaan teknologi digital juga akan memperluaskan pasaran bagi barangan keluaran kita di peringkat antarabangsa.

“Oleh yang demikian, usaha untuk membangunkan infrastruktur asas teknologi digital hendaklah dipertingkatkan.

Ini termasuklah pembinaan lebih banyak menara telekomunikasi, kabel fibre optic dan internet berkelajuan tinggi,” kata beliau lagi.-SarawakVoice

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...