Suri rumah mangsa macau scam, rugi RM15,000




 
KUCHING: Seorang suri rumah membuat laporan polis selepas mengesyaki dirinya menjadi mangsa kes penipuan sindiket Macau Scam dengan mendakwa mengalami kerugian RM15,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani berkata wanita berusia 41 tahun itu terdahulunya menerima panggilan daripada seorang lelaki pada 23 April lepas.

Menurutnya, suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa dia mempunyai tunggakan bayaran GST sebanyak RM50,000 dan seterusnya dia disambungkan kepada panggilan kepada seorang lelaki yang didakwa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

"Lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis itu memaklumkan kepada mangsa bahawa akaun banknya telah digunakan untuk berurusan wang haram menyebabkan mangsa panik dan kemudian mula mengikuti arahan yang diberikan suspek.

"Mangsa kemudian telah memasukkan wang berjumlah RM15,000 ke satu akaun yang diberikan suspek kononnya untuk tujuan siasatan dan menjanjikan wang tersebut akan dipulangkan semula kepada mangsa dalam tempoh dua jam," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mangsa mengesyaki dirinya ditipu apabila wang tersebut tidak dikembalikan kepadanya dalam tempoh dua jam tersebut dan kemudian terus membuat laporan polis. 

Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan. 

Mustafa turut meminta supaya masyarakat sentiasa berhati-hati sekiranya menerima panggilan yang mungkin daripada ahli sindiket penipuan. 

"Jika seseorang yang menghubungi mendakwa diri anggota polis, sila dapatkan pengesahkan daripada mana-mana balai polis berhampiran dan jika ada yang menghubungi mendakwa daripada pihak bank, maka sila berhubung terus dengan bank-bank yang dimaksudkan.

"Jarang ada urusan penting hanya dijalankan melalui panggilan telefon," tegasnya.-UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...