SIBU: Dua individu ditahan kerana disyaki memiliki dadah dengan anggaran nilai RM1,700 dalam satu serbuan di sebuah bilik sewa tingkat satu di Jalan Pedada pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, lelaki dan wanita yang berumur antara 20an hingga 30an itu diberkas oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik yang diketuai oleh Inspektor P. Kalidasan sekitar 7.30 malam.
"Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek (lelaki), polis telah menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi pepejal kristal jernih dipercayai dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 0.55 gram dalam poket kiri hadapan baju hitam yang dipakai suspek.
"Pemeriksaan lanjut di dalam tandas bilik tersebut telah menjumpai lima strip warna merah dan perak masing-masing berisi 10 biji pil disyaki dadah Erimin 5. Jumlah 50 biji pil tersebut berat kasar 16.45 gram," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis turut menjumpai lapan peket plastik lutsinar berisi pepejal kristal jernih disyaki dadah methamphetamine anggaran berat 6.65 gram di dalam dua bekas plastik warna putih di bawahnya berpenutup hitam di atas lantai tandas bilik berkenaan.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek yang mempunyai lima rekod jenayah narkotik mengaku tentang pemilikan dadah terbabit.
"Kesemua dadah tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan," ujarnya.
Stanley berkata, permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Sibu.-UtusanBorneo
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," jelasnya.

No comments:
Post a Comment