Sarawak tidak akan kenakan tol di jambatan dibina



BINTANGOR: Sarawak tidak akan mengenakan tol di jambatan yang dibina menghubungkan rangkaian jalan pesisir di negeri ini demi kepentingan dan kemudahan rakyat luar bandar, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.


“Jambatan yang kita bina di seluruh Sarawak kita buat tiada tol kerana kita ada cara sendiri untuk dapatkan dana bagi membiayai pembinaan projek di negeri ini,” katanya pada majlis pecah tanah projek rakyat jalan pesisir dari Jalan Pasi ke Tanjung Manis dan Jambatan Batang Rajang di sini hari ini.

Beliau berkata dana tersebut diperoleh hasil daripada cukai jualan sebanyak lima peratus yang dikenakan ke atas minyak dan gas yang dieksport dari Sarawak.

Cukai jualan tersebut yang mula dikuatkuasakan tahun lepas mendatangkan pendapatan tambahan sebanyak RM3 bilion setahun kepada Sarawak.

Abang Johari berkata, Sarawak terpaksa membiayai sendiri projek pembinaan jambatan menghubungkan jalan pesisir sepanjang 896 kilometer dari Kuching ke Miri selepas kerajaan Persekutuan menarik balik peruntukan yang diluluskan kerajaan terdahulu.

Sementara itu, projek pembinaan Jalan Pasi-Jalan Tanjung Manis sepanjang 17 km dan Jambatan Batang Rajang sepanjang 1.2 km yang akan menjadi jalan pintas dari Sarikei ke Tanjung Manis menelan kos RM300 juta dan akan mengurangkan masa perjalanan daripada dua jam setengah kepada hanya 45 minit kerana tidak perlu melalui bandar Sibu terlebih dahulu.

Bagi projek pembinaan Jambatan Igan dan Jambatan Batang Lassa, beliau berkata, ia kini dalam proses tender.

Abang Johari berkata, 60 peratus daripada peruntukan Bajet 2019 Sarawak iaitu sebanyak RM11.91 bilion akan digunakan untuk membangunkan kawasan luar bandar yang didiami kira-kira 1.9 juta daripada 2.8 juta penduduk negeri itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...