Rugi lebih RM300,000 diperdaya Macau Scam

KUCHING: Seorang pengurus pentadbiran mengalami kerugian sebanyak RM329,400 selepas terpedaya dengan sindiket 'Macau Scam' yang mendakwa wanita tersebut mempunyai hutang Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) selain terlibat jenayah dadah dan penggubahan wang haram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah yang memberitahu, mangsa, 52, ketika berada di kediamannya di Kuching telah menerima panggilan dari seorang lelaki Cina yang mendakwa diri dari bahagian pentadbiran Kastam di Putrajaya.
"Suspek memberitahu mangsa berhutang dengan pihak kastam berkenaan dengan GST berjumlah RM51,076 dari tarikh 12 Jun 2017 sehingga Januari 2018 atas sebuah syarikat yang dibuka di Pulau Pinang.
"Mangsa menafikan perkara tersebut kerana tidak pernah mendaftar atau pun mempunyai apa-apa syarikat di Pulau Pinang yang mana suspek kemudian menyambungkan talian ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pulau Pinang dan bercakap dengan suspek yang menyamar sebagai polis dan memberitahu mangsa ada satu lagi kes melibat dengan sindiket dadah dan penggubahan wang haram," dedahnya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Mustafa Kamal memberitahu, mangsa menafikan kesemua dakwaan tersebut dan suspek menyuruh mangsa bekerjasama dengannya serta meminta mangsa berjanji untuk merahsiakan hal ini, kerana kononnya bagi melancarkan siasatan yang dijalankan.
Menurutnya lagi, mangsa turut diminta mengeluarkan kesemua wangnya dan memindahkan ke sebuah akaun yang diberikan antara tarikh 2 April hingga 5 April lalu.
"Mangsa telah melakukan 31 transaksi pemindahan wang sebanyak RM329,400 ke dalam lima akaun bank berbeza yang dikatakan oleh suspek adalah milik juruaudit di Jabatan Audit Negara.
"Selepas pembayaran tersebut, mangsa cuba menghubungi dan menghantar pesanan WhatsApp kepada suspek tetapi mangsa tidak dibalas," jelasnya.
Katanya, mangsa yang kemudian sedar dirinya telah ditipu tampil membuat laporan polis pada Ahad.
Sehubungan itu, Mustafa Kamal meningatkan agar masyarakat sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau tipu helah pihak tertentu yang menyamar sebagai pegawai atau anggota polis dan pegawai lain-lain jabatan dan agensi kerajaan.
"Waspada jika ada pihak mengatakan anda terlibat dengan saman tertunggak, kes langgar lari, kes hutang GST, kes jenayah pengubahan wang haram, kes tuduhan mendapatkan duit daripada orang awam, nama digunakan untuk pendaftaran sesebuah syarikat dan sebagainya.
"Justeru, masyarakat diingatkan supaya tidak panik dan mudah percaya dengan panggilan daripada individu yang tidak dikenali," ujarnya.
Tambahnya lagi, pihak polis atau agensi kerajaan tidak akan meminta orang ramai untuk membayar wang ke dalam mana-mana akaun peribadi.
Layari portal rasmi Polis Diraja Malaysia (rmp.gov.my), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (ccid.rmp.gov.my) dan Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...