Remaja terbunuh cuba kejar peragut




KUCHING: Seorang remaja meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas motosikal ditunggangnya terbabas ketika mengejar peragut di Jalan Landeh, di sini pada Rabu.

Menurut sumber, mangsa Muhammad Syahrizal Iswandi,16 tahun semasa kejadian dikatakan menunggang motosikal bersama rakannya sebelum ditahan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali sekitar 4.30 petang.

Difahamkan, lelaki terbabit memberitahu ingin meminjam telefon bimbit mangsa untuk menghubungi rakannya.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa terus memberikan telefon bimbitnya sebelum suspek terus melarikan diri bersama telefon bimbit mangsa dengan menunggang sebuah motosikal.

“Mangsa bersama rakannya itu kemudian terus mengejar suspek namun mereka terbabas dipercayai hilang kawalan dan suspek terus melarikan diri,” kata sumber.

Keadaan motosikal mangsa yang rosak akibat kemalangan tersebut.

Mangsa dan rakannya dibantu oleh orang awam sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Mangsa yang berasal dari Batu 11 Jalan Kuching-Serian disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Kecemasan HUS pada pukul 5.32 petang semalam,” katanya hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk tindakan selanjutnya.

“Sementara rakan mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” kata Alexson. 

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menyalurkan kepada polis dengan menghubungi mana-mana Balai Polis berhampiran,” ujar Alexson.-UtusanBorneo

2 comments:

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...