Perhalus susunan kata dalam RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 - Willie




 
KUCHING: Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin (gambar) percaya susunan kata dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan perlu diperhalusi.

Ujarnya beliau kurang gembira dengan susunan kata dalam cadangan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca buat pertama kali pada Persidangan Parlimen hari ini.

Menurutnya ini kerana Sarawak seharus dinyatakan sebagai Negara Sarawak (The Country of Sarawak) dan Sabah sebagai Negara Sabah (the Country of Sabah), bukan hanya sebagai salah satu negeri di dalam Persekutuan.

RUU itu katanya, seharusnya dibaca Persekutuan Malaysia terdiri daripada (a) negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu, (b) Negara Sarawak dan (c) Negara Sabah.

Beliau berkata berdasarkan cadangan pindaan RUU itu, Sabah dan Sarawak adalah bukan rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia.

Willie percaya susunan kata dalam cadangan RUU tersebut yang mengatakan negeri-negeri Persekutuan seharusnya terdiri daripada: Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu, dan Sabah dan Sarawak; mungkin menunjukkan Sabah dan Sarawak hanya salah satu negeri dalam Persekutuan.

Perkara itu ujarnya mungkin boleh menyebabkan kekeliruan dan menimbulkan salah tafsiran.

"Saya telah menyatakan dengan sangat jelas dalam perbahasan Titah Diraja sebelum ini, saya benar-benar mahu Sabah dan Sarawak menjadi rakan kongsi setara dengan Persekutuan Malaysia.

"Sebab itulah saya mencadangkan kita menggelar Negara Sabah dan Negara Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia, langkah seterusnya ialah penurunan kuasa serta hak-hak menurut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada Sabah dan Sarawak," tegasnya.

Bagaimanapun, beliau percaya pembentangan RUU itu merupakan langkah pertama yang baik untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63 secara sah.

Beliau menambah sekurang-kurangnya apa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh lakukan adalah mengembalikan isi kandungan asal MA63, (tanpa Singapura) kerana rakyat Sarawak mahu ia selaras semangat MA63.

Sehubungan itu katanya, beliau akan mencadangkan susunan kata dalam cadangan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan ditukar apabila RUU itu dibaca untuk kali kedua.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...