Pengawal keselamatan terima 62 jahitan selepas dirompak ketika bertugas




SIBU: Seorang pengawal keselamatan menerima 62 jahitan selepas mengalami kecederaan parah akibat ditetak ketika dirompak di sebuah pondok pengawal keselamatan di sebuah kawasan tanah perkuburan di Sungai Merah, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa, 55, ketika kejadian sedang bertugas di pondok pengawal apabila seorang lelaki tiba-tiba muncul dan  mengambil begnya mengandungi wang tunai berjumlah RM350 dan telefon bimbit, pada pukul 10.30 pagi.

"Mangsa bertindak melawan menyebabkan dia telah dilibas oleh suspek dengan parang mengakibatkan dia mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian berlari keluar dan meminta bantuan sehingga orang awam menghubungi ambulans yang tiba di lokasi untuk membawa mangsa ke Hospital Sibu untuk mendapat rawatan lanjut.

Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati mangsa mengalami beberapa kesan tetakan di belakang lengan kiri sehingga terkena tulang dan perlu dirujuk dengan doktor pakar tulang sama ada kecederaan akan dijahit atau simen.

"Tiga tetakan di bahagian tepi kiri kepala berdekatan telinga menerima 28 jahitan, dua kesan tetakan atas kepala dengan 25 jahitan dan satu kesan tetakan di belakang kepala menerima sembilan jahitan," katanya.

Stanley berkata, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah semasa melakukan rompakan.

Menurutnya lagi, suspek dipercayai seorang lelaki Bumiputera yang bertutur Iban/Melanau, berambut pendek kini sedang diburu oleh polis.

"Keadaan mangsa kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di wad Hospital Sibu, tambahnya.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...