MIRI : Kebakaran Tanah Gambut Berjaya Dipadamkan

 MIRI: Kebakaran tanah gambut yang berlaku di Kuala Baram sebelum ini telah berjaya dipadamkan sepenuhnya. 

Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kejayaan ini atas usaha dan kerjasama semua pihak dalam memastikan kebakaran tanah gambut yang berlarutan selama beberapa hari itu berjaya dipadamkan.

"Terima kasih kepada semua pihak di atas usaha bersama dalam membantu memadamkan kebakaran tanah gambut yang telah berlarutan sejak beberapa hari lalu.

"Kita akan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan kejadian seperti ini tidak akan berulang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap selepas mempengerusikan Taklimat Situasi Kebakaran Tanah Gambut Di Kuala Baram di Menara Tinjau Tudan, Kuala Baram By-Pass Road, semalam.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata mereka telah mengenal pasti beberapa aspek kelemahan yang harus diambil tindakan segera dalam usaha memastikan kebakaran seperti ini akan dapat diselesaikan dengan cepat.

"Ketiadaan drone yang mempunyai kapasiti tinggi bagi tujuan melakukan pemantauan sebelum, semasa dan selepas kebakaran.

"Tiada fasiliti dan bekalan air yang mencukupi bagi membantu melancarkan operasi pemadaman. Musim kemarau menyebabkan paras air di parit dan check dam kering," katanya.

Turut dikenal pasti kurangnya penguatkuasan dan tindakan tegas ke atas Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke atas individu yang melakukan pembakaran terbuka.

"Mengikut rekod sebanyak 97 peratus kes pembakaran terbuka yang berlaku baru-baru ini adalah disebabkan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab dan pekebun bermusim yang melakukan pembakaran terbuka.

"Setakat semalam (Ahad) hanya 4 kompaun sahaja dikeluarkan yang bernilai RM200 setiap satu oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB).

"Begitu juga dengan kekuatan logistik pasukan pemadam untuk kawasan Kuala Baram adalah kecil iaitu sebanyak 95 orang berbanding bilangan kekerapan kes serta keluasan kawasan kebakaran," ujarnya. 

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin YB Datuk Lee Kim Shin, ADUN Piasau YB Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khiruddin Drahman @ Husaini, Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang, Timbalan Residen Bahagian Miri Nyurak Keti dan Ketua Zon 6 JBPM Sarawak Law Poh Kiong.

Turut hadir Pengawal Bertindak Kualiti Alam Sekitar Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) Justine Jok Jau, Ketua Cawangan Jabatan Alam Sekitar (DOE) Cawangan Miri Julaiha binti Jumal, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Sarawak (JMG) Edward Muon, Pegawai Pertahanan Awam Bahagian Lt. Hazle Shah bin Abdul Hamid dan mewakili Pegawai Memerintah 20 RAMD Miri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mejar Ardi. -




No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...