Hafiz kembali pikat peminat dengan lagu balada



KUALA LUMPUR: Selepas mencuba irama rancak menerusi Hari Ini Dalam Sejarah, tahun lalu, penyanyi, Hafiz Suip, kembali berusaha memikat hati peminat dengan lagu balada.

Sinonim dengan genre terbabit, juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu kini muncul dengan single berjudul Kisah Cinta Kita yang juga lagu runut bunyi drama, Dia Menantu Rahsia, siaran TV3.

“Saya merakamkan lagu berentak rancak, tahun lalu, sekadar untuk meneroka genre baharu. Biarpun peminat memberikan reaksi yang pelbagai, namun saya berasakan eksperimen itu berjaya kerana ia mampu menarik perhatian pendengar generasi muda.

“Apabila syarikat rakaman, Nova Music, menawarkan saya Kisah Cinta Kita, saya tidak teragak-agak untuk merakamkan lagu itu bagi mengubati kerinduan peminat yang sememangnya menantikan karya balada terkini daripada saya,” katanya kepada BH Online.

Begitupun, menurut Hafiz, single berkenaan bukan sebarangan lagu balada.

“Ia tetap menawarkan kelainan berbanding lagu balada pernah saya nyanyikan sebelum ini. Jika satu ketika dahulu saya mungkin dikenali dengan lagu sedih mendayu-dayu, kali ini saya membawakan lagu pop balada yang penuh dengan rasa bahagia pula.

“Ia adalah hasil ciptaan komposer, Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali, manakala liriknya ditulis oleh penerbit drama berkenaan, Datuk A Aida,” katanya yang sebelum ini popular dengan lagu Awan Nano, Bahagiamu Deritaku, Ku Akui, Masih Jelas, Ombak Rindu, Matahari dan Muara Hati (duet bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza).

Pemenang tiga kali kategori Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu, itu turut menzahirkan rasa gembira dengan penerimaan luar biasa peminat terhadap single terbarunya.

“Mereka memberikan maklum balas sangat luar biasa. Ramai juga yang menyanyikan kembali lagu itu dengan cara mereka sendiri, termasuk kalangan rakan artis.

“Jumlah tontonan video lirik di YouTube juga mencapai angka lima juta dalam tempoh kira-kira dua bulan. Syukur, ia permulaan cukup baik buat kerjaya saya, tahun ini,” katanya.

Sementara itu, video muzik rasmi lagu berkenaan akan dikongsi di YouTube Nova Music, bermula jam 8 malam ini.

Menerusi video terbabit, penyanyi berstatus suami itu dikatakan turut melakonkan babak berani yang memaparkannya bercumbu mesra dengan seorang wanita di tepi pantai.

“Jika peminat nak tahu siapa wanita itu, kenalah tonton video muzik berkenaan,” katanya.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...