Bantuan air minuman untuk kawasan kemarau


BANTUAN air minuman dihantar ke kawasan terjejas. FOTO Ihsan Pembaca

KESULITAN yang dihadapi penduduk di beberapa kawasan di Sarawak yang terjejas akibat kemarau diringankan dengan bantuan air minuman untuk menampung keperluan harian mereka.

Pengagihan air minuman dalam botol itu mula dilaksanakan sejak dua hari membabitkan beberapa kawasan yang masih belum disediakan kemudahan bekalan air bersih.

Penempatan penduduk di Sungai Igan, di Sibu antara yang menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) itu berikutan beberapa kampung yang terletak di antara Sibu dan Dalat itu masih bergantung kepada air hujan untuk memasak dan minum.

Ketua Kaum, Kampung Bungan Besar, Sulaiman Hashim berkata, mereka menerima bantuan air minuman setiap kali kemarau, sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata, kesulitan memang amat dirasai penduduk setiap kali musim kemarau dan mereka mengharapkan agar bekalan air bersih segera disalurkan ke semua kampung sepanjang sungai berkenaan.

“Bantuan air minuman dalam botol ini hanyalah penyelesaian jangka pendek ketika musim kemarau ini kerana kami masih mengharapkan agar paip disambung ke kampung kami untuk membekalkan air bersih sepanjang masa.

Apapun kami berterima kasih kepada JKMNS kerana mengagihkan bantuan air minuman untuk mengurangkan kesulitan yang kami hadapi ketika musim kemarau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sulaiman berkata, untuk mandi dan membasuh, mereka boleh menggunakan air sungai, tetapi untuk minum dan memasak, mereka amat memerlukan bantuan kerana air hujan yang disimpan dalam tangki sudah kehabisan.

“Kali ini, kampung kami menerima bantuan hampir 1,000 kotak air minuman yang setiap kotak mempunyai 12 botol berkapasiti 1.5 liter sebotol.

“Setiap penduduk kampung menerima dua kotak yang bermakna jika sebuah rumah mempunyai empat penghuni, maka rumah itu menerima lapan kotak air minuman,” katanya.

Sehingga bulan ini, JKMNS menyalurkan sebanyak RM794,920 bagi membantu penduduk yang terjejas bekalan air berikutan musim kemarau.-HarianMetro

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...