Anak Sarawak dari Sarikei, Jackie Wong pecah rekod kebangsaan



KUALA LUMPUR: Jaguh baling tukul besi lelaki negara, Jackie Wong mencipta khabar gembira buat skuad olahraga negara apabila memecahkan rekod kebangsaan miliknya pada hari terakhir Kejohanan Olahraga Asia berlangsung di Doha, Qatar, awal pagi ini.

Atlet berusia 27 tahun itu mencatatkan 67.01 meter pada balingan ketiganya dalam final di Stadium Antarabangsa Khalifa sekali gus membaiki rekod kebangsaan 66.01m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Bukit Jalil pada tahun lalu.

"Syukur kepada Tuhan. Berjaya perbaiki rekod kebangsan sendiri dengan 67.01m di Kejohanan Olahraga Asia," kata Jackie.

Jackie bagaimanapun menamatkan saingan akhir itu di tempat kelapan dengan pingat emas dimenangi atlet Tajikistan, Dilshod Nazarov dengan 76.14m sementara atlet Qatar, Ashraf AmgadEl-Seify membawa pulang perak dengan 73.76m.

Gangsa dimenangi Hodjayev Sukhrob dari Uzbekistan dengan catatan 72.85m.

Untuk rekod, ini adalah rekod kebangsaan kali ke-13 yang dicipta pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur itu sejak mengambil bahagian dalam saingan kompetitif pada tahun 2013.

Sementara itu, jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei hampir memperoleh pingat gangsa namun terpaksa berpuas hati di tempat keempat biarpun merekodkan catatan yang sama dengan pemenang pingat gangsa, Naoto Tobe dari Jepun yang mencatat 2.26m. Naoto melakukan lompatan 2.26m pada percubaan pertamanya sementara Hup Wei mencatat 2.26m pada percubaan ketiganya.

Seorang lagi atlet negara, Nauraj Singh Randhawa pula berpuas hati di tempat keenam apabila melakukan 2.23m yang juga adalah catatan terbaiknya pada musim ini.

Acara akhir lompat tinggi lelaki itu dimenangi Majdeddin Ghazal dari Syria yang merekodkan 2.31m sementara seorang lagi atlet Jepun, Takashi Eto membawa pulang pingat perak dengan catatan 2.29m.

Pada edisi ke-23 Kejohanan Olahraga Asia itu, skuad olahraga negara menghantar keseluruhan sembilan atlet terbaik negara dengan Jackie menjadi satu-satunya atlet negara yang mencipta rekod kebangsaan yang baru sementara atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamshuddin gagal mempertahankan pingat perak yang dimenangi pada edisi lalu di Bhubaneswar, India pada tahun 2017.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...