LIMBANG: Ahli Jawatankuasa Masjid dan surau di Bahagian Limbang digesa mempertingkatkan kemahiran dalam penggunaan teknologi digital dan amalan pengurusan yang berkesan.
Menteri Muda Pertanian Sarawak YB Dr Hj Abdul Rahman Hj Ismail berkata Kerajaan Sarawak sangat mengambil berat dalam meningkatkan pengurusan institusi Islam seperti masjid dan surau dan telah menubuhkan sebuah institusi yang dikenali Institusi Masjid Sarawak yang dipengerusi oleh YAB Ketua Menteri Sarawak manakala Timbalannya YB Datuk Amar Hj Awang Tengah Ali Hasan.
"Penubuhan institusi tersebut bertujuan untuk memastikan pengurusan masjid dan surau di Sarawak dapat dipertingkatkan mengikut keadaan semasa seperti penggunaan teknologi digital.
"Pengauditan dilakukan dengan memberikan standard penarafan bintang kepada masjid-masjid di Sarawak. Standard penarafan bintang tersebut dijangka akan diperluaskan ke surau-surau nanti.
"Masjid-masjid bahagian dan daerah di Sarawak telah dijalankan pengauditan dan hasil pengauditan tersebut hanya Masjid Daerah Lawas yang mendapat penarafan 3 bintang daripada 5 bintang penarafan yang tertinggi," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Perasmian Kursus Induksi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Tahun 1440h/ 2019M anjuran Pejabat Agama Islam Bahagian Limbang di Pusat Pembangunan Komuniti Melayu Limbang, semalam.
Hadir sama Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosley dan Penyelia KAFA Daerah Limbang Suhaini Abdul Karim.
YB Dr Hj Abdul Rahman Hj Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Kota berharap peserta kursus yang hadir akan dapat memenuhi 5 kreteria yang dinilai dalam pengauditan masjid dan surau iaitu pengurusan, kebersihan, keceriaan, pengimarahan dan kewangan.
"AJK pengurusan masjid dan surau diharap akan melakukan yang terbaik dan termampu di masjid dan surau masing-masing kerana tugas tersebut tiada ganjaran yang setimpal dapat diberikan di dunia ini.
"Selain itu, Jabatan Agama Islam Bahagian Limbang, Jawatankuasa Perayaan Islam Daerah Limbang juga telah merancang dan mengadakan aktiviti setiap bulan bagi merancakkan aktiviti keagamaan di daerah Limbang," tambahnya.
Dalam Kursus Induksi Jawatankuasa Pengurusan Masjid ini seramai tiga ceramah telah disampaikan iaitu Kaedah Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Sarawak, Prosedur Kewangan Jawatankuasa Masjid dan Surau Negeri Sarawak dan Pengimarahan Masjid dan Surau Negeri Sarawak.




No comments:
Post a Comment