Abang Johari tangkis pandangan negatif pembinaan padang terbang Kapit




Abang Johari memukul gong bagi merasmikan AGM DCCI sambil disaksikan Uggah, Masing dan Salang.

KUCHING: Meskipun mendapat kritikan hebat, kerajaan Sarawak tetap meneruskan pembinaan padang terbang di Kapit sejajar dengan matlamat membangunkan sektor pertanian dan pelancongan. 

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata dua sektor itu berperanan sebagai pemangkin pembangunan di kawasan tersebut.

"Apabila saya mengumumkan untuk membina landasan terbang di Kapit ada yang mengkritik saya dan mempersoalkannya.

"Pada satu ketika dahulu, waktu Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika Perdana Menteri keempat) membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) orang juga mempertikaikan dan lihat kini apa berlaku kepada KLIA.

"Perkara yang sama berlaku kepada lapangan terbang Bario dahulu tetapi kini Bario berperanan penting dalam sektor ini bahkan memohon untuk diperbesarkan lagi (padang terbang) dengan pesawat lebih besar," katanya berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-11 Dewan Perdagangan dan Perindustrian Dayak (DCCI) di sini, hari ini.

Hadir sama dua timbalan ketua menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Presiden DCCI Datuk Joseph Salang Gandum.

Menjelaskan lanjut, kejayaan dua contoh itu menunjukkan rancangan membina padang terbang di Kapit merupakan tindakan yang betul.

Begitu juga rancangan untuk membina padang terbang di Bukit Sadok, Betong yang diumumkannya sebelum ini.

Pengangkutan udara menurutnya amat penting dalam memasarkan produk pertanian kerana ia perlu disegerakan agar tidak rosak.

Antara produk pelancongan berpotensi dibangunkan di Bahagian Kapit ialah Empangan Hidroelektrik Baleh.

Dalam tempoh 10 tahun lagi, jelasnya, ia berupaya menjadi daya tarikan pengunjung, sekali gus akan menjadi pemangkin pembangunan sosioekonominya.

Pada Selasa lepas, beliau yang mengadakan lawatan ke Kapit mengumumkan kerajaan negeri meluluskan pembinaan lapangan terbang di daerah Bukit Mabong di bahagian itu.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...