Abang Johari: Pindaan tidak penuhi aspirasi rakyat Sarawak



SARIKEI: Ketua Menteri berharap tidak ada tuduhan jahat dilemparkan terhadap kerajaan Sarawak kerana tidak menyokong Rang Undang-Undang pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kerajaan Sarawak hanya menyokong sebarang pindaan yang benar-benar membawa faedah kepada Sarawak dan rakyatnya.

“Menyokong sesuatu pindaan yang tidak membawa manfaat sebenar adalah bagai menipu rakyat Sarawak,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Bacaan pertama Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2019 dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong di Dewan Rakyat, Khamis.

Beliau menyatakan meskipun persetujuan diberi tentang hasrat meminda Perkara 1 (2), namun tiada kelulusan diberikan terhadap pindaan dalam bentuk seperti yang dibentangkan pada Khamis.

Ini, jelasnya, kerana Jawatankuasa Kabinet tentang Perjanjian Malaysia 1963, tidak pernah membincangkan kandungan sebenar dan kata-kata untuk pindaan berkenaan.

Abang Johari menjelaskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu yang pertama beliau menekankan perbincangan dan keputusan sepatutnya berada dalam ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Lagipun, sebarang keputusan tentang mana-mana isu sepenting ini memerlukan saya mendapatkan mandat Jawatankuasa Perundingan yang ditubuhkan Dewan Undangan Negeri Sarawak,” tegasnya.

“Kami juga berpendapat pindaan ini adalah lebih wajar jika dibentangkan selepas keputusan penting tentang isu berkenaan yang dibincangkan oleh Jawatankuasa MA63,” katanya lagi.

Ujarnya, pindaan terhadap Perkara160 (2) mengenai takrifan Persekutuan perlu juga dilakukan kerana pindaan terhadap Perkara 1 (2) sahaja tidak sepenuhnya memenuhi aspirasi rakyat Sarawak.-SarawakVoice

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...