TERKINI: Jasad dua rakyat Malaysia korban Lombok tiba di tanah air



SEPANG: Jasad dua rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa bumi dan tanah runtuh di Lombok kelmarin, tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, jam 6 petang tadi.

Jasad mendiang Datin Tai Siew Kim, 56, iaitu Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily dan mendiang Lim Sai Wah, 56, dibawa pulang menaiki pesawat Garuda Indonesia dan tiba di KLIA pada jam 5.19 petang.

Antara yang hadir menyambut ketibaan dan memberi penghormatan terakhir kepada mendiang ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan pengurusan kanan Sin Chew Daily.

Keluarga kedua-dua mendiang turut hadir di Kompleks Kargo KLIA iaitu suami kepada Siew Kim, Datuk Teoh Yang Khoon, 56, dan dua anak lelakinya, Teoh Jian Yi, 22, serta Teoh Zheng Yi, 20 (yang bersama ibunya ke Lombok).

Selain itu, suami kepada Sai Wah, Tan Ching Chuan, 62, yang turut ke Lombok serta anaknya, Tan Peng Cheng, 34.


Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, bersalaman dengan suami mendiang Sai Wah, Tan Ching Chuan, 62 yang terkorban dalam gempa bumi di Lombok, Indonesia di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Jasad mendiang Siew Kim kemudian dibawa ke Taman Peringatan Nirvana, Sungai Besi dengan menaiki van bagi upacara keagamaan, manakala jasad mendiang Sai Wah dibawa pulang ke kampung halamannya di Segamat, Johor.

Sementara itu, Loke mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, selain merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutama Wisma Putra yang membantu membawa jasad mendiang pulang ke tanah air dengan segera.

“Kita memberikan sokongan kepada keluarga mangsa dan pegawai saya juga membantu menguruskan proses membawa pulang mendiang dari Indonesia,” katanya.

Selain dua jasad mendiang, 17 mangsa lain turut pulang ke tanah air hari ini.

Bagaimanapun, empat lagi warga Malaysia yang cedera dalam kejadian itu masih menerima rawatan di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Mataram, Lombok.

Kesemua mereka adalah sekumpulan 23 warga Malaysia yang berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Utara, ketika bencana gempa bumi dan tanah runtuh berlaku pada jam 3.07 petang kelmarin (waktu tempatan).



No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...