Syor tapis ruangan komen bukan untuk sekat kebebasan bersuara - Gobind



Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Gesaan supaya pengendali portal berita dan media sosial menapis kenyataan yang disiarkan pada ruangan komen, bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, tetapi untuk mengekalkan kesopanan dan mengelak ungkapan berbaur kesat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata portal berita dan media sosial menyediakan ruang kepada orang ramai memberi komen serta bertukar-tukar pandangan, namun ia bukan platform untuk mengetepikan aspek kesopanan.

Dalam konteks berkenaan, beliau menggesa pengendali portal berita dan media sosial supaya mengawal selia dengan ‘menyederhanakan’ berita dan komen yang dipaparkan pada ruangan komen masing-masing.

“Ia bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara orang ramai, tetapi untuk mengekalkan kesopanan dan mengelakkan ungkapan menggalakkan kata-kata kesat yang boleh memberi kesan terhadap keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau memberi penjelasan susulan kenyataannya semalam bahawa kementerian itu sedang mempertimbangkan menggubal undang-undang bagi menghukum pengendali portal berita dan media sosial yang membiarkan pandangan berbaur hasutan serta sensitif, pada ruangan komen masing-masing.

Gobind dilaporkan berkata, pengendali portal dan media sosial seperti Facebook, perlu bertanggungjawab terhadap komen ditinggalkan pada kandungan berita yang mereka paparkan.

Katanya, kebebasan untuk membincangkan topik secara terbuka dan berterus terang di media sosial adalah perlu, tetapi ia mesti dipastikan tidak lari daripada intipati perbincangan dan media sosial tidak disalahgunakan sebagai platform yang boleh mencetuskan pergolakan sosial atau menjejaskan keselamatan negara.

“Saya menerima banyak aduan awam berhubung kata-kata kesat di media sosial dan portal berita yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja.

“Pada saya, setiap kebebasan perlu disertai tanggungjawab. Sebab itulah, portal termasuk portal berita, mesti bertanggungjawab terhadap berita yang mereka hidangkan dan komen yang diterima pada ruangan komen mereka,” katanya.

Katanya, beliau akan berbincang dengan pelbagai, pihak termasuk media dalam mencari jalan dan membangunkan rangka kerja sesuai berhubung mekanisme bagi menangani hal berkenaan.

“Saya akan terus mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan berkaitan bagi mendapatkan pandangan dan cadangan daripada Majlis Media yang akan ditubuhkan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau turut mengulangi gesaan supaya orang ramai berhati-hati dengan apa yang disiarkan di media sosial.

“Walaupun terdapat kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar, tetapi ia bukanlah mutlak, sebaliknya tetap tertakluk kepada undang-undang demi memelihara ketenteraman awam di negara ini,” katanya.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...