22,047 amaran bertulis larangan merokok dikeluarkan



Sebanyak 22,047 amaran bertulis dikeluarkan kepada pemilik premis makanan dan pelanggan yang merokok sejak dikuatkuasakan Januari lepas. - Arkib NSTP

KUALA LUMPUR: Sebanyak 22,047 amaran bertulis dikeluarkan kepada pemilik premis makanan dan pelanggan yang merokok, sejak larangan merokok di tempat makan dikuatkuasakan Januari lepas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata 20,351 daripada amaran yang dikeluarkan itu adalah terhadap tuan punya premis yang gagal meletakkan tanda amaran merokok, manakala 1,696 lagi amaran dikenakan kepada individu yang masih merokok di tempat makan.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa ketika ini peraturan itu masih dalam tempoh penguatkuasaan pendidikan yang bertujuan memberi kesedaran dan peluang kepada masyarakat untuk mengubah tabiat merokok.

“Sebagai permulaan kepada pindaan pewartaan ini, semua negeri telah melaksanakan penguatkuasaan itu yang merangkumi aktiviti pemakluman tempat-tempat larangan merokok melalui edaran risalah, makluman secara individu serta makluman di media massa dan media sosial,” katanya menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) hari ini.

“Aktiviti Penguatkuasaan Pendidikan juga merangkumi aktiviti mengingatkan tuan punya premis akan tanggungjawab mereka untuk meletakkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok sebagaimana Peraturan 13,
Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” tambahnya.

Penguatkuasaan sepenuhnya undang-undang larangan merokok akan bermula pada Jun ini. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...