Suspek samun kedai 24 jam di Padungan berjaya dicekup





Suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menangkap seorang lelaki tempatan di sebuah rumah di Kampung Segedup, Batu Kawa, di sini kerana disyaki terlibat kes samun kedai 24 jam Ahad lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Superintenden Ismail Mahmood semasa dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Menurutnya, suspek,20an disyaki terlibat kes samun yang dilaporkan berlaku di Jalan Padungan, di sini pada 17 Mac lalu.

“Hasil risikan polis dan maklumat awam membawa kepada penangkapan suspek sekitar jam 4.05 petang Rabu (20 Mac) lepas,” kata Ismail dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau dengan denda serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk penyalahgunaan dadah,” katanya.

Justeru Ismail menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan polis untuk bersama-sama membanteras kegiatan jenayah yang boleh mengancam ketenteraman awam.

“Semua lapisan masyarakat perlu membantu menyalurkan maklumat terutamanya berkaitan suspek-suspek yang dikehendaki polis dengan menghubungi 082-244444 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...