4 masjid di England diserang dengan tukul besar



Polis sedang menyiasat serangan terhadap 4 masjid di Birmingham. (Gambar Reuters)


LONDON: Empat masjid di bandar Birmingham, England diserang malam tadi, oleh seorang lelaki bersenjatakan tukul besar yang dilihat memecahkan tingkap di 2 rumah ibadat, kata polis hari ini.

Anggota polis anti-pengganas sedang menyiasat serangan terhadap masjid di 4 kawasan berbeza di utara bandar itu, kata Polis Midlands Barat dalam kenyataan hari ini.

Polis berkata siasatan menganggap kejadian-kejadian itu berkaitan.
“Ketika ini kita tidak tahu apakah motif serangan malam tadi,” kata Ketua Konstabel Dave Thompson dalam kenyataan.

“Apa yang saya boleh beritahu adalah polis dan unit anti-pengganas berusaha mencari orang yang bertanggungjawab.”

Polis pada awal pagi semalam menerima laporan tentang seorang lelaki memecahkan tingkap salah satu rumah ibadat dengan tukul besar.

Polis melancarkan rondaan bersasaran dan menemui kerosakan di 2 lagi rumah ibadat selepas menerima laporan mengenai serangan sama di sebuah lagi masjid di satu kawasan kejiranan.

“Anggota forensik sedang berusaha mengenalpasti bukti, dan CCTV sedang dikaji,” kata polis.

Ketua-ketua polis British minggu lepas mengumumkan anggota digerakkan untuk membuat rondaan keselamatan di masjid-masjid susulan serangan maut di New Zealand pada Jumaat.

Kumpulan-kumpulan anti-rasisme memberi amaran Islamophobia semakin memburuk di Britain dan menyebabkan peningkatan aktiviti golongan haluan kanan di negara itu.

Laporan yang diterbitkan bulan lepas oleh badan amal Hope Not Hate memetik tinjauan yang mendapati 1/3 rakyat British menganggap Islam secara umumnya ancaman kepada cara hidup orang British.

Dalam satu lagi kejadian baru-baru ini, Mohammed Mahmoud, seorang imam yang dipuji kerana pelaku serangan maut terhadap sebuah masjid di utara London pada 2017, dilapor diludah dan dicerca.

Mahmoud berkata dia menjadi sasaran pada Isnin semasa pulang ke rumah daripada sebuah acara solidariti dengan mangsa serangan New Zealand bersama para pemimpin agama lain, Menteri Dalam Negeri Sajid Javid dan Datuk Bandar London, Sadiq Khan.

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...