Skuad B-23 negara mula langkah kanan



PEMAIN Malaysia, Muhammad Akhyar Rashid (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang pasukan Filipina pada aksi pusingan pertama kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 Thailand 2020 di Stadium Shah Alam. - Foto BH

SHAH ALAM: Pemain sensasi, Akhyar Rashid membuktikan ‘tag harga’ RM12 jutanya apabila cemerlang membantu skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) meraih kemenangan 3-0 ke atas Filipina pada aksi Kumpulan J Kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Meskipun jarang mendapat peranan dalam aksi domestik namun pengalaman yang diraih ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini membolehkannya tampil dengan permainan meyakinkan di pentas Asia sehingga berjaya meledak dua gol pada separuh masa pertama.

Menerusi kemenangan terbabit, tiga mata pertama yang dikutip pada aksi pembukaan itu dilihat memberi petanda positif dalam usaha skuad negara merebut slot ke saingan AFC yang berlangsung di Thailand tahun hadapan.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu tidak boleh selesa memandangkan ketumpulan penyudah mungkin boleh membuatkan mereka gigit jari pada aksi berikutnya apabila deretan peluang ketika bertemu Filipina gagal disempurnakan.

Dengan barisan terkuat bagi aksi pembukaan, dominasi penuh ditunjukkan anak buah Kim Swee apabila hanya memerlukan 240 saat untuk membuka jaringan menerusi lorongan Syahmi Safari yang dimanfaatkan Akhyar Rashid untuk melakukan satu percubaan menewaskan Micheal Asong.

Malaysia seharusnya menambah lebih banyak namun beberapa peluang yang diperoleh tidak disudahkan dengan baik sebelum Akhyar mencetak gol kedua menerusi penyudah menggunakan tumit pada minit ke-30.

Sepakan sudut Safawi Rasid menggegar tiang gol Filipina pada minit ke-42 dan Hadi Fayyadh Abdul Razak mensia-siakan peluang keemasan untuk menambah gol ketiga apabila percubaannya dalam situasi satu lawan satu dinafikan Asong pada minit ke-45.

Hasrat Malaysia untuk menambah gol terus terbantut apabila palang menafikan percubaan pemain gantian, Faisal Abdul Halim pada minit ke-72 namun pemain itu menebus kekecewaannya dengan gol menarik selepas mudah menggelecek Asong dan pertahanan Filipina sebelum menyumbat masuk bola pada minit ke-84.

Sementara itu, satu lagi perlawanan yang berlangsung pada sebelah petang menyaksikan China di bawah bimbingan Guus Hiddink melaungkan amaran sebagai pasukan pilihan selepas membelasah Laos 5-0 sekali gus mendahului Kumpulan J.

Selepas ini, China akan bertemu Filipina sementara Malaysia akan meneruskan pemburuan tiga mata bertemu Laos, gelanggang sama, Ahad ini.-BH Online
 

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...