Rakyat perlu yakin usaha kerajaan kurangkan kos sara hidup - Agong



Isnin, 11 March 2019 | 12:09pm

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah rakyat perlu terus yakin dengan pelbagai langkah yang diambil kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup.

Baginda bertitah, biarpun kesannya mungkin tidak segera dirasai, rakyat harus yakin dengan pelbagai tindakan yang diambil demi meningkatkan kesejahteraan mereka.

“Rakyat juga perlu realistik dalam meletakkan harapan kepada Kerajaan dan terus berusaha untuk memajukan diri ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup.

“Semestinya kerajaan beta akan sentiasa bersama-sama rakyat dalam mengharungi cabaran ini,” titah baginda pada pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Turut mengiringi Al-Sultan Abdullah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan sedar peningkatan kos sara hidup adalah antara cabaran dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Justeru, titah baginda, kerajaan mengambil pelbagai inisiatif untuk dilaksanakan di seluruh negara bagi membantu rakyat termasuk menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.

“Di samping itu, kerajaan juga akan memperkukuhkan kerjasama strategik dengan sektor swasta dan badan bukan kerajaan dalam isu-isu kepenggunaan serta meningkatkan penguatkuasaan ke atas pihak yang mengeksploitasi harga dan mengambil keuntungan berlebihan.

“Pelbagai inisiatif turut dilaksanakan, antaranya penyelarasan gaji minimum, pemberian Bantuan Sara Hidup, subsidi bersasar, program ‘Food Bank’ serta peningkatan kualiti sistem penyampaian kerajaan,” titah baginda.

Baginda turut bertitah agar semua pihak, khususnya sektor swasta, berganding bahu dengan kerajaan untuk membangunkan ekonomi negara.

Tahun lalu, titah baginda, ekonomi negara berkembang sebanyak 4.7 peratus dengan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta manakala hutang RM1.9 trilion juga kekal terurus.

“Dalam hal ini, beta menyambut baik Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas dan Belanjawan 2019 yang telah mengambil kira aspirasi rakyat dan cabaran semasa supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dirasai oleh segenap lapisan masyarakat,” titah baginda.-BH Online


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah ketika merasmikan persidangan pertama mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-14 di Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima titah ucapan perasmian daripada Perdana Menteri , Tun Dr Mahathir Mohamad bagi merasmikan persidangan pertama mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-14 di Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...