Prestasi pendidikan Sarawak meningkat



AZHAR (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada penerima di Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendidikan Sarawak 2018 di Ibu Pejabat Jabatan Pendidikan Sarawak, Kuching. - Foto BH

PETRA JAYA: Prestasi pendidikan di Sarawak mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila bilangan pelajar layak mendapat sijil dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin meningkat daripada 83.02 peratus direkodkan pada 2016 kepada 83.21 peratus pada 2017.

Pengarah Pendidikan negeri, Dr Azhar Ahmad, berkata Gred Purata Negeri (GPN) juga bertambah baik daripada 5.34 pada 2016 kepada 5.17 pada 2017.

Beliau berkata, keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun lalu turut menunjukkan prestasi membanggakan apabila bilangan calon memperoleh E dalam semua mata pelajaran semakin berkurangan bagi dua jenis sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

“Bilangan calon SK yang memperoleh E dalam semua mata pelajaran menurun daripada 2.21 peratus pada 2017 kepada 1.96 peratus pada 2018 iaitu penurunan 0.26 peratus manakala di SJK pula menurun daripada 1.40 peratus pada 2017 kepada 1.19 peratus pada 2018 iaitu penurunan 0.21 peratus.

“Saya yakin jika penggemblengan yang berterusan usaha semua pihak, Sarawak boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri lain,” katanya ketika berucap menyempurnakan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendidikan Sarawak 2018 di Ibu Pejabat Jabatan Pendidikan Sarawak, di sini semalam.

Azhar berkata, kecemerlangan Sarawak juga terbukti dalam bidang kokurikulum dan sukan, apabila muncul johan tiga tahun berturut-turut iaitu 2016, 2017 dan 2018 dalam Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Malah, pada 2018, atlet Sarawak, Grace Wong Xiu Mei, menerima anugerah olahragawati dan atlet terbaik perempuan 18 tahun ke bawah dalam Kejohanan Olahraga MSSM 2018, selepas merangkul satu pingat emas dan mencatat rekod baharu Sukan Sekolah Asean dalam acara baling tukul besi.

Selain itu katanya, pelajar Sarawak juga cemerlang di peringkat kebangsaan dalam Pertandingan Koakademik.

“SK Kidurong, Bintulu menjadi johan Pertandingan Bahas Ala Parlimen Bahasa Melayu Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan Tahun 2018 dan pelajar sekolah itu, Syed Ali Zufar Alkaff Syed Muhammad Azani, dinobatkan sebagai pembahas terbaik pertandingan.

“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Nangka, Sibu pula muncul johan bagi Anugerah Buku Skrap Keselamatan Jalan Raya Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan Tahun 2018 yang diadakan di Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur,” katanya.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...