Pan Borneo 36 peratus siap - Baru Bian



MENTERI Kerja Raya, Baru Bian. - Foto BH

MIRI: Pembinaan baki sepuluh pakej projek Pan Borneo di Sarawak kini sudah mencapai kemajuan kerja fizikal sebanyak 36 peratus.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian, yang berpuas hati dengan tahap kemajuan itu yakin projek terbabit tidak menghadapi masalah untuk disiapkan mengikut jadual pada Jun 2021.

Beliau berkata, projek membabitkan jarak 780 kilometer dari Telok Melano ke Miri kini berjalan lancar seperti yang diharapkan rakyat Sarawak.

“Pakej projek Pan Borneo dari Telok Melano-Sematan sudah pun siap dan dilancarkan Januari lalu, manakala baki 10 pakej dari Sematan ke Miri mencapai kemajuan fizikal memberangsangkan,” katanya di sini, hari ini.

Baru berkata, di utara Sarawak, pembinaan Pan Borneo dari persimpangan Bakun ke Sungai Tangap di Bintulu sejauh 77 kilometer sudah berada pada tahap kerja fizikalnya memuaskan, seperti mana pembinaan Pan Borneo dari Sungai Tangap ke Pujut Link.

Mengenai insiden mendapan jalan di laluan Pan Borneo, beliau berkata ia sering terjadi ketika musim hujan yang berlaku dalam tempoh lama sehingga mengakibatkan struktur jalan raya mudah runtuh.

Justeru, kata Baru, bagi mengelakkan insiden sama berulang, kementeriannya mengarahkan pihak berkaitan membuat penilaian risiko dan melaksanakan rancangan pencegahan di lokasi berisiko.

“Kementerian dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya Sarawak, juruperunding dan jurutera akan melaksanakan pemantauan berkala untuk memastikan kerja pembinaan Pan Borneo mematuhi spesifikasi dan aspek keselamatan yang ditetapkan,” katanya.-BH Online

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...