Peruntukan RM40 juta Program Khas Bumiputera Sarawak




KUCHING: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM40 juta untuk pelaksanaan Program Khas Bumiputera (PKB) Sarawak bagi Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata peruntukan itu merangkumi lima kluster, termasuk kluster pengukuran tanah adat yang menerima peruntukan terbesar sebanyak RM21.5 juta.

“Pelaksanaan PKB Sarawak bertujuan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur dan sosioekonomi penduduk minoriti Bumiputera di kawasan pedalaman dengan memberi fokus kepada kaum Penan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Sarawak, di sini hari ini.

Beliau berkata bagi 2019, jumlah pengukuran perimeter tanah adat yang disasarkan adalah 52,394 hektar dan secara kumulatifnya 869,072 hektar perimeter telah diukur dan 22,983 hektar untuk tanah individu.

Sementara itu, Baru berkata 564 projek fizikal berjumlah RM17.25 bilion (kos siling projek) dan RM4.33 bilion diperuntukkan untuk Sarawak di bawah RMK11.

Katanya, di bawah Rolling Plan Keempat RMK11, RM0.077 bilion daripada peruntukan RM4.33 bilion telah dibelanja untuk pelbagai projek pembangunan di Sarawak.

Mengenai Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Sarawak yang pertama kali diadakan itu, Baru berkata ia berperanan penting bagi memastikan pelaksanaan dasar, program dan projek kerajaan, khususnya di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) serta inisiatif-inisiatif semasa kerajaan persekutuan dapat diselaras dan dipantau secara efisien dan holistik.

Beliau berkata lima kertas kerja dibentangkan pada mesyuarat hari ini, melibatkan tiga oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sarawak dan masing-masing satu daripada Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Sarawak.– BERNAMA

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...