Pantai Tusan dibangunkan untuk tumpuan pelancong


KUCHING: Kerajaan GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri YAB Abang Johari Tun Openg akan membangunkan Pantai Tusan di Bekenu sebagai salah satu ikon tarikan pelancong yang baharu di utara Sarawak.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Rosey Yunus berkata Projek Pembangunan Kemudahan Pelancongan Pantai Trusan Bekenu itu melibatkan kos sebanyak RM 6 juta.

Jelasnya, projek tersebut secara pentadbirannya telah dilaksanakan dan surat setuju terima telah pun diberikan kepada kontraktor yang berjaya.

“Tarikan utama yang terdapat di Pantai Tusan iaitu batu berbentuk kuda yang sedang minum air itu tidak terdapat di tempat lain kerana ianya sesuatu yang begitu unik yang terhasil daripada hakisan ombak,” katanya.

“Selain itu, fenomena ‘blue tears’ juga menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung di sini,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual secara eksklusif oleh wartawan TVSarawak.com di pejabatnya di sini hari ini.

Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN N71 Bekenu berkata projek berkenaan merangkumi membina baru medan niaga, 5 unit gazebo, taman permainan kanak-kanak, trek laluan pejalan kaki yang menuju ke pantai , busker plaza dan tempat letak kereta.

Menurutnya lagi, projek pembangunan tersebut amat bermakna dan memberi impak yang besar kepada penduduk setempat terutamanya peniaga-peniaga kecil dan sekaligus meningkatkan sosio ekonomi di kawasan berkenaan.

Di samping projek pembangunan Pantai Trusan, Kerajaan Sarawak juga membina jambatan ikonik yang hampir siap yang menghubungkan pasar Bekenu ke kampung Rambai dan kampung-kampung seberang sungai berkenaan.

Rosey mengingatkan kepada orang ramai agar menghargai kemudahan yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak itu supaya menggunakan kemudahan tersebut dengan sebaik-baiknya.

 

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...