Masa depan PRS kian kelabu?





Kekecewaan Tan Sri Dr James Jemut Masing terhadap pemimpin dan ahli yang keluar parti pimpinannya memang dapat difahami.


Meskipun mengakui bahawa dalam sistem demokrasi seseorang boleh menyertai mana-mana parti atau pertubuhan, namun beliau tidak dapat menyembunyikan nada kecewa.

Ya, siapa yang dapat bersikap berpura-pura lebih-lebih lagi jika rakan dan pemimpin yang pernah berjuang bersama-sama tiba-tiba mengubah haluan dengan menyertai parti lain.

Presiden PRS itu  tidak mempunyai pilihan kecuali akur dengan tindakan 11 ahlinya menyertai PSB. Apa yang terjadi sudah pun terjadi.

Namun, pada waktu yang sama, beliau melabelkan kumpulan tersebut sebagai tidak pandai berterima kasih atau menghargai apa-apa yang telah diberikan kepada mereka ketika bersama-sama PRS.

Masing berkata, sepanjang menjadi pemimpin parti, beliau banyak membantu pengikutnyua dengan meltakkan mereka dalam kedudukan penting.

“Seperkara yang penting ialah berterima kasih kepada institusi atau orang yang telah membantu anda,”’ katanya.

“Sebagai manusia kita mempunyai hati nurani, itulah ukuran siapa kita,” katanya sebagai mengulas perkembangan terbaharu membabitkan PRS.

Masing mungkin kedengaran berfalsafah, tetapi bagi pemimpin berkenaan, mereka melihat ada sinar pada PSB, berbanding PRS yang bagi mereka semakin malap di bawah kepemimpinan Masing.

Pada pilihan raya lalu, PRS tewas di tiga kerusi – Selangau, Julau dan Lubok Antu sekali gus satu pukulan dahsyat kepada Masing. Ada sesuatu yang berlaku di arus bawah PRS yang perlu ditafsirkan dengan lebih lanjut.

Kelmarin, beberapa pemimpin PRS telah menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Parti pimpinan Datuk Seri Wong Soon Koh ini baru dijenamakan smeua. Sebelum ini ia dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Logonya pun sudah diubah. Perubahan dan penjenamaan semula itu sebagai langkah proaktif dan strategik untuk melangkah lebih jauh.

Ya, apa yang berlaku kelmarin ialah langkah untuk pergi lebih jauh.

Kita dapat baca bagaimana Soon Koh telah berusaha untuk mendapatkan lebih banyak pemimpin Iban  ke dalam pangkuan PSB.

Parti yang sebelum ini dipersepsi sebagai parti kaum Cina, mula mengubah warna dan ideologi perjuangannya.

Selepas mengubah nama dan logo supaya lebih keperibumian dan kebumiputeraan, langkah seterusnya ialah mendapatkan banyak pemimpin Dayak, terutama dalam kalangan pemimpin Iban. Itulah yang dilakukannya.

Tengok pakaian Soon Koh di  pada waktu pengumuman kemasukan dan penyertaan pemimpin berkenaan di Kuching kelmarin.

Dalam teori propaganda, itu dikenali sebagai common folk. Beliau mahu dikaitkan dengan kaum Dayak apabila memakai pakaian yang sinonim dengan kaum Iban.

Berita tentang tindakan Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Masir Kujat dan Datuk Joseph Entulu, timbalan presiden PRS yang dipecat menjelang pilihan raya umum lalu  menyertai PSB tidaklah terlalu mengejutkan.

Sebelum ini sudah ada desas-desus bahawa mereka  akan menyertai PSB.
Ternyata desas-desus itu benar. Memang betul,  jika tiada angin pokok tidak akan bergoyang.

Juga,  dalam politik, tiada teman yang abadi kerana yang abadi ialah kepentingan. Bagi pemimpin yang sudah berada di luar arus perdana politik itu, cara terbaik untuk menghidupkan kembali nyawa politik mereka adalah dengan menyertai sesebuah parti politik yang dilihat mempunyai masa depan. Ya, adakah PSB punya masa depan yang cerah?
 
Jadi, apa kepentingan beberapa orang bekas wakil rakyat PRS menyertai PSB?

“Saya percaya PSB ialah parti pelbagai kaum yang sebenar dan berupaya menyatupadukan kaum di Sarawak yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri,” kata Masir yang juga naib presiden PRS.

“PSB merupakan parti tempatan yang bebas dan boleh bersuara bagi semua warga Sarawak, tanpa mengira kaum dan agama,” katanya lagi dalam kenyataan itu.

Pemimpin lain yang turut menyertai PSB ialah bekas ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri Muran.  Juga, bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyallau Badak.

Adakah penyertaan mereka ini membawa petanda bahawa PSB akan semakin kukuh dan memainkan peranan besar dalam pilihan raya akan datang?

Apakah implikasi terhadap usahanya untuk menyertai Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana Joseph Entulu dan Masir ialah bekas pemimpin PRS?

Tentu ini akan menyulitkan keadaan kerana Masing tentu tersinggung dengan langkah pemimpin berkenaan.

Masing tentu memberi tentangan, selain SUPP jika PSB memohon untuk menyertai GPS. Keadaan ini menyulitkan keadaan kemasukannya dalam GPS. Tetapi adakah GPS punya pilihan?

Bagi PSB, parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempercayai perjuangannya berkongsi rasa kekitaan rakyat sarawak.

“Sama ada UPP atau PSB, ciri-ciri utama parti tetap kekal dan tidak berubah. Kita akan sentiasa menjulang prinsip berbilang kaum sebagai tunjang kekuatan parti,” ujar PSB dalam satu kenyataan kelmarin.

Adakah PSB akan menampilkan calon untuk bertanding dalam pilihan raya negeri nanti?
Kelihatannya, sudah terang lagi bersuluh.

Parti itu bagai mahu menjadi ‘kingmaker’.

PBS sedang membuat perhitungan politik yang penting. Mungkinkah ia akan menentukan dinamika politik Sarawak nanti?

Kelihatannya, Soon Koh cuba berada beberapa langkah di hadapan menjelang pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka seawal suku akhir 2020 atau selewatnya-lewatnya suku pertama 2021.

Dengan memujuk dan memastikan lebih banyak pemimpin Dayak berada dalam PSB lebih-lebih lagi yang difikirkan punya pengaruh di kawasan masing-masing, maka Soon Koh berharap parti itu dapat mengemukakan calon dalam pilihan raya negeri nanti.

Mungkinkah PSB akan bertembung di beberapa kerusi dengan PRS? Apa kesudahannya jika itu berlaku? Adakah PRS dapat mengekang asakan calon PSB?
Perkembangan politik dalam beberapa hari dan minggu lagi amat menarik untuk diteliti.

Satu hakikat adalah pasti. Kelihatannya, PSB adalah mesra GPS dan menyokong kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Percaturan politik yang dilakarkan oleh PSB akan menentukan bagaimana nasib PRS dalam pilihan raya nanti. Adakah PRS akan menemui ajalnya atau semakin lemah?

PRS mungkin tidak tidur lena dengan kerenah dan tindak-tanduk terbaharu PSB itu. Mungkinkah PRS berdepan masa depan yang kian kelabu?-SarawakVoice

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...