Lapan warga Sarawak ditipu sindiket pekerjaan di Liberia selamat pulang




KUCHING: Kementerian Luar Negeri menerusi usaha diplomatik dan konsular berjaya membawa pulang lapan rakyat Malaysia yang terkandas di Monrovia, Liberia sejak 4 Februari 2019.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan akhbarnya hari ini, berkata usaha itu termasuk sepucuk surat dihantar oleh menterinya Datuk Saifuddin Abdullah kepada rakan sejawatannya, Menteri Kerajaan Luar Liberia Gbehzohgar
M.Findley memaklumkan lapan rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu seterusnya meminta bantuan Kerajaan Liberia untuk menghantar mereka pulang ke tanah air.

Bagi memastikan kejayaan misi itu, Kementerian turut menghantar dua pegawainya sebagai Duta Khas ke Monrovia pada 26 Februari 2019.

Ini merupakan kejayaan kedua kerajaan, selepas membebaskan 47 rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa di Kemboja.

Sehubungan itu, kerajaan Malaysia amat menghargai bantuan dan kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Liberia untuk membebas serta menghantar pulang rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu.

Menurut Kementerian Luar Negeri lagi, kesemua rakyat Malaysia yang ditipu oleh sindiket pekerjaan tempatan itu berasal dari Sarawak yang berusia antara 39 hingga 66 tahun.

Mereka ialah Gawan Masin, Enyang Ato, Aji Surau, Untol Luyang, Salim Tahir, Suhaili Gani, Bon Egat dan Dingai Nyalak.

Beberapa wakil rakyat dari Sarawak dan pegawai Kementerian Luar merakam kenangan di KLIA hari ini. - Gambar Kementerian Luar 

Selepas mendapat dokumen-dokumen perjalanan diperlukan serta kelulusan daripada pihak berkuasa Liberia, kesemua mangsa berlepas ke Kuala Lumpur hari ini bersama Duta Khas daripada Kementerian Luar Negeri.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.30 petang hari ini dan disambut pegawai-pegawai dari Kementerian Luar Negeri.

Mereka dijadual berlepas ke Sarawak menggunakan pesawat AirAsia pada pukul 6.55 petang pada hari sama.

Sime Darby, syarikat Malaysia yang beroperasi di Liberia juga menghulurkan bantuan diperlukan bagi memastikan kebajikan kesemua rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu dijaga sebelum ketibaan Duta Khas dan sementara rundingan dengan pihak berkuasa Liberia dilakukan.

Kementerian Luar Negeri memantau serius kes-kes melibatkan sindiket pekerjaan luar negeri yang menawarkan gaji lumayan.

Kementerian juga amat mengambil berat peningkatan kes seperti itu dan menasihati rakyat Malaysia agar membuat pengesahan terlebih dahulu berhubung tawaran pekerjaan khususnya di luar negara.

Ini termasuk meneliti dengan terperinci kontrak pekerjaan, mendapatkan visa pekerjaan yang sah serta mendapatkan nasihat Misi Malaysia terlebih dahulu.-Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...