KUALA LUMPUR 28 Mac - Reka bentuk sebenar kereta terbang pertama Malaysia kelak tidak akan kelihatan seperti model skala kecil yang dipamerkan di Langkawi, Kedah, semalam.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, kereta terbang yang sedang dibangunkan di Jepun itu akan memiliki gaya yang pelbagai iaitu menggunakan pemandu dan tanpa pemandu.
“Tidaklah begitu, kenapa awak ingat itu kipas KDK ke? Tidak.
“Kereta terbang yang kita bangunkan ini sangat versatile (serba boleh). Man dan unman (Pemandu dan tanpa pemandu),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau diminta mengulas sama ada reka bentuk kereta terbang sebenar akan kelihatan seperti yang ditunjukkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19), semalam.
Ramai memperlekehkan model skala kecil kereta terbang, Vector yang dibangunkan oleh sebuah syarikat tempatan, Aerodyne Sdn. Bhd. di media sosial.
Antaranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengeluarkan hantaran ‘Salam Empat Kipas’ di akaun Facebook miliknya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment