Kerajaan lulus sebuah lagi feri tambahan di Pangkalan Feri Triso





Julaihi bersalaman dengan warga SK St Andrew, Entangor.

SEBUYAU: Kerajaan Sarawak meluluskan sebuah lagi feri tambahan di Pangkalan Feri Triso, Batang Lupar bagi mengurangkan kesesakan pengguna jalan pesisir ketika menggunakan perkhidmatan tersebut.

Perkara itu diumumkan Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi yang memberitahu, dengan tambahan feri itu, ia menjadikan jumlah feri yang beroperasi di situ tiga buah.

“Ini membuktikan Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) peka dan mendengar akan keperluan rakyat luar bandar di kawasan pesisir negeri ini.

“Diharap dengan adanya tambahan feri ini dapat mengurangkan tempoh menunggu terutama ketika musim perayaan dan hujung minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) St Andrew di Entangor di sini semalam.

Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, tambahan itu juga dapat melancarkan lagi laluan di kawasan tersebut.

Malah katanya, ia juga dapat memenuhi keperluan penduduk khasnya pengguna jalan pesisir untuk menyeberang Sungai Batang Lupar di laluan Sebuyau, Triso di laluan Jalan Pesisir Sarawak.

Pada majlis itu, Julaihi memberitahu, semua sekolah rendah dalam kawasan Sebuyau termasuk SK St Andrew Entangor dapat dihubungi melalui jaringan jalan raya.

“Kenderaan pun sekarang boleh sampai di sini dan parkir dalam kawasan sekolah.

“Saya cukup faham cabaran guru-guru yang mengajar di sekolah luar bandar seperti sekolah ini yang serba kekurangan dari segi kemudahan,” tegasnya.

Selain itu jelasnya, kerja baik pulih sekolah turut dilakukan Kerajaan Sarawak baru-baru ini bagi memberi keadaan yang lebih selesa kepada guru dan murid di sini.

“Namun, kecekalan dan usaha gigih para guru bersama guru besar dengan sokongan penduduk kampung, maka, sekolah ini dapat menempatkan diri sebagai salah sebuah daripada tujuh sekolah rendah yang lulus 100 peratus dalam peperiksaan UPSR 2018,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau meluluskan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada PIBG SK St Andrew untuk menjalankan aktiviti sekolah.

Dalam pada itu, Julaihi memberitahu, program ‘News In Education’(NIE) untuk 19 sekolah rendah termasuk SK St Andrew, Entangor bagi DUN Sebuyau yang melibatkan pembekalan surat khabar berbahasa Inggeri setiap hari masih diteruskan.

Turut hadir Penolong Pegawai Pendidikan Simunjan Awang Ahmad Awang Sadet, Guru Besar SK St Andrew Iskandar Sejili, Pengerusi PIBG David Ascie Entahil, Penghulu Merum Babu dan tetamu kehormat lain.-UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment

RM1.2 JUTA ROKOK DAN BIR DIRAMPAS

SIBU: Pelbagai jenis rokok dan bir dipercayai barangan seludup yang dianggarkan bernilai lebih 1.2 juta telah dirampas oleh sepasukan ...